Dalam satu kejadian di Labuan, seorang lelaki maut selepas membantu sebuah keluarga dalam kebakaran rumah teres di Merinding Garden dekat Jalan OKK Daud, awal pagi 24 Januari lalu.
Selamatkan tujuh orang jiran
Lelaki itu, Gillian Donald, 41, telah bertungkus lumus membantu memadam kebakaran sebuah rumah di situ dan turut menyelamatkan tujuh individu yang juga merupakan jirannya dalam insiden yang berlaku pada jam 4.17 pagi itu.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata kebakaran di rumah itu akhirnya berjaya dipadamkan oleh pihak bomba namun malangnya Gillian gagal diselamatkan dan meninggal dunia.
Siasatan lanjut juga mendapati seramai tujuh isi rumah iaitu enam wanita seorang lelaki dan tiga daripadanya kanak-kanak berjaya diselamatkan. Semua mereka masing-masing berusia empat hingga 67 tahun.
Namun sukarelawan iaitu jiran mangsa kebakaran yang bertungkus lumus dan berjaya menyelamatkan tujuh sekeluarga mangsa kebakaran didapati meninggal dunia.
I had goosebumps baca news ni. Seorang lelaki di Labuan meninggal lps selamatkan 7 org dlm kebakaran. Those 7 people bukan family dia. Mulianya hati 🥹 pic.twitter.com/dWrsmVQy15
— Tag Jones 🇵🇸 (@callmefye) January 25, 2024
Terhidu bau asap berlebihan
Kata Hamizi lagi, bantuan CPR telah diberikan namun mangsa gagal diselamatkan dan pegawai perubatan mengesahkan Gillian mengalami sesak nafas akibat terhidu bau asap yang berlebihan.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Nukleus Sabah untuk pemeriksaan di mana tiada sebarang kecederaan ditemui di tubuhnya namun siasatan lanjut masih diteruskan.
Kebakaran itu dipercayai berpunca datang daripada kenderaan milik tuan rumah yang terbakar di parkir hadapan kediaman tersebut sebelum ia merebak.
Sementara itu, semua mangsa yang diselamatkan itu berada dalam keadaan stabil dan dua daripada mereka telah menerima rawatan akibat kecederaan dialami.