Seorang lelaki berusia 24 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 22 sebuah rumah inap kondomonium di Kota Syahbandar, Melaka pada awal pagi Khamis.
Penghuni nampak mayat dari tingkat 8
Menurut sumber polis, kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 pagi dan mayat lelaki berkenaan ditemui oleh seorang penghuni di tingkat 8 selepas terdengar bunyi dentuman kuat datang dari kawasan kolam renang di tingkat 7.
Saksi kemudian terlihat kelibat seseorang di dalam kolam dan segera menghubungi polis. Pemeriksaan mendapati objek tersebut adalah mayat seorang lelaki dengan tangan kiri terputus, dipercayai akibat terjatuh dari tingkat atas.
Check in 2 jam sebelum jatuh
Pihak bomba kemudian dihubungi untuk membantu mengeluarkan mayat sebelum dibawa ke Hospital Melaka bagi proses bedah siasat.
Siasatan awal pihak polis mendapati mangsa mendaftar masuk ke unit berkenaan bersama tunangnya yang berusia 21 tahun dua jam sebelum kejadian.
Sekitar jam 2.15 pagi, mangsa memberitahu tunangnya bahawa dia terdengar bunyi ketukan di pintu unit mereka. Mangsa kemudian keluar ke balkoni, dipercayai untuk cuba turun ke tingkat bawah, namun terjatuh ke dalam kolam renang.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengesahkan tiada pergerakan individu lain di lokasi ketika kejadian.
Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi demi menghormati keluarga mangsa.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.