Individu yang maut selepas diikat dan dibelasah sekumpulan lelaki dalam satu kejadian di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang, Selasa lalu disahkan positif dadah ketika kejadian.
Ada 10 rekod lampau berkaitan dadah
Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dalam sidang media hari ini selepas laporan bedah siasat dijalankan ke atas lelaki berusia 42 tahun terbabit.
Dia positif dadah. Masa post mortem itu, dia positif methamphetamine dan ganja.
Dalam temu bual itu, Hussein turut mendedahkan mangsa mempunyai 10 rekod lampau berkaitan dadah dan dikehendaki atas kesalahan berkenaan.
Akan ada lagi suspek ditahan
Sementara itu, pihaknya turut berjaya menahan dua lagi individu berusia 22 dan 39 tahun di Kajang semalam selepas dipercayai terbabit dalam insiden berkenaan.
Akan ada lagi suspek ditahan, kita juga sudah menerima laporan dibuat oleh dua pemilik kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu.
Difahamkan ketika kejadian, mangsa melanggar dua kenderaan lain sebelum ditemui meninggal dunia dipercayai akibat dipukul.
Dalam pada itu, Hussein memaklumkan pihak polis masih menyiasat motif kejadian tersebut memandangkan hasil bedah siasat mendapati tiada kecederaan ketara pada mangsa yang menyebabkan kematiannya.
Polis juga menyeru orang ramai yang menjadi saksi insiden untuk tampil membantu siasatan serta menasihati masyarakat untuk tidak menokok tambah atau mereka-reka cerita berkaitan kes ini.