Program Malaysia Hari Ini (MHI) baru-baru ini menampilkan satu perkongsian eksklusif bertajuk ‘Madu Dalam Kehidupan’ yang mengupas realiti kehidupan poligami seorang lelaki bersama tiga isterinya.
Menerusi segmen tersebut, Muhammad Amirul Hakimin Zuha, 32, berkongsi bagaimana beliau mengemudi kehidupan berpoligami secara terbuka dan berlandaskan komunikasi sejak awal perkahwinan, khususnya bersama isteri pertama.

Menurut Amirul, topik poligami bukanlah sesuatu yang muncul secara tiba-tiba, sebaliknya telah dibincangkan secara terbuka sejak tahun pertama perkahwinan.
“Saya sebenarnya pada tahun pertama kahwin, memang kami secara terbuka bersembang tentang poligami. Itu topik perbualan kami, dan saya ada juga tanya kepada isteri pertama.”
Beliau turut mendedahkan bahawa isterinya memberi keizinan dengan satu syarat iaitu tidak melibatkan rakan terdekat bagi mengelakkan konflik pada masa hadapan.
“Dia cakap kalau nak cari calon isteri, jangan cari kawan dia sebab kalau bergaduh nanti susah. Jadi saya sendiri cari calon sendiri dan beritahu kepada isteri pertama.”
Tambahnya lagi, pertemuan antara isteri pertama dan bakal isteri kedua juga dilakukan secara terbuka dalam suasana santai.

“Kami kemudian berjumpa di kedai makan, order makanan dan bersembang seperti biasa.”
Sementara itu, isteri pertama, Ian Fazreena Noor’Aini, 31, mengakui sikap keterbukaan dan komunikasi jujur menjadi faktor utama yang membantunya menerima kehidupan berpoligami.
Bagi isteri kedua, Nurul Amirah Kamaruddin, 29, cabaran utama bukan sekadar hubungan sesama madu, sebaliknya melibatkan penerimaan keluarga dan persepsi masyarakat.
Manakala isteri ketiga, Shahida Dzayuddin, 27, memilih pendekatan dengan memberi layanan yang baik serta berusaha menyesuaikan diri dalam kehidupan berpoligami.
Sebagai ketua keluarga yang mengemudi tiga rumah tangga serentak, Amirul menegaskan bahawa hubungan dengan Tuhan dan ilmu menjadi tunjang utama dalam memastikan keharmonian.
“Pertama sekali sebagai pemimpin keluarga, kita kena pastikan diri dengan Tuhan dalam keadaan bagus. Saya tak nafikan kadang-kadang kita leka tapi kita kena sentiasa belajar untuk dekatkan diri dengan Tuhan.”
“Kedua adalah segi ilmu, sebab cara poligami diamalkan tidak seperti monogami. Tetapi bila ada ilmu yang betul, kita akan tahu caranya dan juga pergaulan dengan orang sekeliling kita.”
Beliau turut berkongsi penglibatannya dalam Pertubuhan Poligami Harmoni Malaysia, yang disifatkan sebagai platform sokongan, bukannya untuk mempromosikan amalan poligami.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
