Ramai masyarakat Malaysia yang cukup menggemari ayam goreng bersalut tepung terutamanya keluaran KFC disebabkan rasanya yang enak dan rangup menepati selera tekak rakyat negara ini.
Tular baru-baru ini di Tik Tok menerusi perkongsian @syedot_asmr yang meluahkan kekesalan beliau apabila ayam KFC yang dibelinya bersaiz kecil. Jelas menunjukkan di dalam video itu Syedot membandingkan peha ayam KFC yang sama saiz dengan paket sos cili.
Video itu mendapat perhatian dari warga maya yang turut bersimpati melihatkan harga menu di KFC sudah meningkat namun saiz ayam seolah-olah tidak sesuai dengan harga.
Sementara itu, ada juga warga maya yang mengatakan bahawa saiz ayam KFC kini sudah kecil berbanding sebelum ini dan masalah ini sebenarnya mengikut cawangan KFC tertentu. Ini kerana, ada sahaja cawangan KFC yang menjaga kualiti dan mengikut prosedur. Netizen juga berkongsi pernah mengalami nasib sama dengan Syedot.
Sehingga kini, video itu telah meraih 1.4 juta tontonan.