Indonesia digemparkan dengan kes tragis melibatkan Tiara Angelina Saraswati, 25, yang dipercayai dibunuh oleh teman lelakinya, Alvi Maulana, 24.
Kes tersebut terbongkar apabila seorang penduduk menemui cebisan daging manusia di kawasan jurang Mojokerto, Jawa Timur ketika mencari rumput untuk ternakan.
Siasatan lanjut menemukan puluhan bahagian tubuh mangsa yang dibuang merata-rata. Polis kemudiannya berjaya menahan Alvi di rumah sewa yang pernah diduduki bersama Tiara sejak April lalu. Mengejutkan, pihak berkuasa turut menemui cebisan kulit dan mata mangsa yang disorok dalam almari.
Menurut keterangan Alvi, mereka bercinta selama lima tahun namun sering bergaduh atas perkara kecil. Pada 30 Ogos lalu, selepas menjemput adiknya di lapangan terbang, Alvi pulang lewat dan menyebabkan Tiara marah hingga mengunci pintu rumah.
Pertengkaran itu berakhir tragis apabila Alvi bertindak nekad menamatkan nyawa kekasihnya di bilik mandi sekitar jam 2 pagi.
Selepas kejadian, dia menunggang motosikal selama sejam setengah untuk membuang anggota badan Tiara di kawasan semak. Setakat ini, pasukan forensik telah mengumpulkan 310 cebisan tubuh mangsa termasuk 239 tulang, 22 batang gigi, kulit kepala dan organ dalaman. Analisis DNA sedang dijalankan dan dijangka selesai dalam tempoh sebulan.