Lelaki Ini “Reject” Calon Lelaki Yang Nak Meminang Anaknya Walau Ada Kerja Bagus

Trending

Lelaki Ini “Reject” Calon Lelaki Yang Nak Meminang Anaknya Walau Ada Kerja Bagus

Sebagai bapa, bukan senang untuk membuat keputusan dalam keluarga terutama hal melibatkan masa depan anak-anak. Sudah tentu sebagai ibu bapa, pasti inginkan yang terbaik untuk anak-anaknya.

Begitu juga dengan lelaki ini, tidak kisah jika ada orang yang datang nak meminang anaknya. Tetapi ada perkara penting yang perlu calon menantunya laksanakan sebelum bergelar suami kepada anak perempuannya.

Advertisement

Jom baca..

Isteri saya bertanya, jika ada lelaki meminang Haura, tetapi lelaki itu mahu tinggal dengan ibu bapanya, tidak mahu duduk berasingan, adakah saya akan terima.

Saya bertanya: Mak bapak lelaki itu sakit ke dan memang memerlukan anaknya di sisi? Jawapan isteri saya: Tidak.

Maka saya menjawab: Insya-Allah, ‘reject’ awal-awal sebab lelaki itu tidak faham tanggungjawab sebagai suami dan belum sedia menjadi suami.

Bahkan, sepatutnya 2-3 bulan sebelum bernikah sudah mula cari rumah untuk didiami nanti selepas pernikahan. Habis menikah, boleh terus masuk rumah.

Wahai kaum lelaki ‘beragama’, fahami agamamu sebenar-benarnya.

Semaklah fatwa para ulama berkaitan menyedian kediaman berasingan untuk isteri daripada keluarga mertua, dan hak isteri untuk menolak tinggal dengan mertua.

Sesungguhnya kefahaman anak lelaki perlu utamakan ibu bapa sebelum isteri sering disalah fahami dengan erti kata yang tidak benar.

Belajar agama betul-betul, baca huraian para ulama betul-betul.

Bagi saya, jika anda tidak bersedia hidup berasingan daripada ibu bapa anda, bermaksud anda belum bersedia menjadi seorang suami.

Sejauh manakah pengetahuan kita semua berkaitan kewajipan suami dan isteri, hak suami dan isteri. Kita sering menggunakan kaedah ‘isteri kena taat suami dalam perkara yang tidak melanggar syara’.

Lalu kaedah ini digunakan secara meluas dalam semua perkara termasuk jika suami mahu tinggal dengan ibu bapanya, isteri wajib taat, suami suruh isteri jaga ibu bapa suami, isteri wajib taat.

Sejauh itukah ketaatan kepada suami sehingga isteri berdosa jika enggan mentaati suami?

Apatah lagi kaedah mengarut yang berbunyi: “Apabila seorang wanita sudah berkahwin, ibu bapa suami adalah lebih diutamakan daripada ibu bapa sendiri”.

Saya tidak tahu kenapa perkara yang sangat banyak dibahaskan dalam karya-karya feqh para ulama ini seolah-olah asing daripada pengetahuan masyarakat Melayu.

Itu merupakan hak kepada seorang isteri untuk mendiami kediaman yang berasingan daripada ahli keluaraga suami dan ahli keluarganya.

Sepatutnya, kewajipan asas sebegini diketahui seorang lelaki dan wanita sebelum memasuki alam perkahwinan supaya tidak ada sesiapa yang menzalimi atau dizalimi.

Antara hak seorang isteri ialah dia mempunyai tempat tinggal yang khusus bersama suaminya dan anak-anaknya yang tidak dikongsi bersama orang lain sama ada ayahnya, ibunya atau kaum kerabat yang lain.

Ini adalah pendapat majoriti ulama daripada mazhab Hanafi, Syafie dan Hanbali. Si isteri berhak untuk enggan tinggal bersama mertuanya dan kaum kerabat suaminya.

Imam al-Kasani menyebutkan dalam Badai’ al-Sona’i: Seandainya si suami mahu menempatkan isterinya bersama dengan madunya, atau keluarga suami, seperti ibu suami, adik beradik perempuan suami, atau anak-anak perempuan suami daripada isteri yang lain, atau kaum kerabat suami, lalu si isteri enggan, maka wajib untuk suami menyediakan tempat tinggal yang berasingan kepada si isteri.

Ini kerana mereka yang tinggal serumah itu mungkin boleh menyakiti hati isteri atau memukulnya jika mereka tinggal serumah. Keengganan si isteri merupakan petunjuk bahawa beliau terganggu atau disakiti.

Ini jua kerana si suami perlu jua mampu untuk melakukan hubungan seksual dengan isteri atau bermesra dengannya pada bila-bila masa, dan ini tidak mungkin berlaku apabila adanya orang ketiga di dalam rumah.

Teruskan membaca pada link-link di bawah yang berkaitan dengan hak isteri untuk duduk berasingan.

1. https://islamqa.info/en/94965
2. https://islamqa.info/en/96455
3. https://islamqa.info/en/175218
4. https://islamqa.info/en/7653
5. https://islamqa.info/en/144557

Kesimpulan..

1- Tiada sebarang dalil menunjukkan kewajipan seorang Muslimah untuk berkhidmat kepada mentuanya.

2- Seorang isteri hendaklah melayani mentuanya dengan baik atas dasar ihsan selagi mana ia di dalam batas kemampuannya.

3- Suami hendaklah sedar akan hal ini bahawa dia tidak berhak memaksa isterinya untuk berkhidmat kepada ibu bapanya, dan si isteri tidak wajib melakukannya walau disuruh oleh si suami. Ini kerana ia bukan kewajipan yang terhasil apabila akad nikah berlaku.

4- Dalam masa yang sama, Muslimah juga dinasihati untuk memberikan khidmat yang mampu kepada mentua kerana satu masa nanti mereka juga akan menjadi ibu, dan akan mempunyai menantu, dan akan tiba saatnya mereka pula memerlukan bantuan menantu mereka.

5- Seorang suami hendaklah sedar bahawa hubungan mereka adalah hubungan suami isteri, dan bukannya hubungan seorang tuan dengan hambanya.

Seandainya si isteri dengan rela hati sudi tinggal bersama keluarga suami, dia tetap berhak menarik balik persetujuannya pada bila-bila masa kerana pada asalnya, haknya adalah untuk tinggal berasingan.

Suami pula, jika isteri bersetuju untuk tinggal bersama ibu bapa suami atau ahli keluarga suami, perhatikan perkara berikut:

1- Isteri hanya wajib berkhidmat kepada suami, bukan kepada ibu bapa suami apatah lagi adik beradik suami. Suami tiada hak memaksa isteri untuk menjaga ibu bapa suami, menyediakan makan minum mereka, membasuh baju mereka dan sebagainya. Jika si isteri melakukannya, itu adalah ihsan isteri secara sukarela, yang insya-Allah mendatangkan pahala, tetapi tetap bukan kewajipan isteri. Oleh itu suami tidak berhak memaksa isteri dalam hal ini. Suami perlu ingat, kewajipan menjaga ibu bapanya, adalah kewajipannya dan adik beradiknya, bukan kewajipan isterinya.

2- Suami hendaklah mengambil kira aspek aurat, hukum khulwah yang mana ini akan berlaku apabila di dalam rumah terdapat ipar duai. Ini akan menyusahkan kehidupan isteri sehingga 24 jam di rumah perlu menutup aurat dengan sempurna kerana terdapatnya bukan mahram. Apatah lagi isu khulwah apabila di rumah hanya ada isteri dan ipar duai atau anak-anak buah suami yang bukannya mahram kepada si isteri.

3- Apabila isteri sudah sukarela tinggal dengan ibu bapa suami, dan sukarela pula berkhidmat kepada mereka, maka suami perlu menghargai dan memahami bahawa isteri sudah menambah beban di atas bahunya sesuatu yang pada asalnya bukan kewajipan beliau. Hargai, dan fahami jika nanti adakalanya isteri ‘bad mood’ dan tak larat melayani suami kerana penat dan letih. Peka jua dengan keadaan sekeliling takut-takut ada konflik tersembunyi antara isteri dan keluarga dan isteri merahsiakannya kerana mahu menjaga hati suami.

Sumber – Mohd Masri Mohd Ramli

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...