Lelaki Ini Mempunyai Lebih 200 Pasang Kasut Jenama Adidas Koleksi Vintaj, Sebahagiannya Sukar Dicari

Trending

Lelaki Ini Mempunyai Lebih 200 Pasang Kasut Jenama Adidas Koleksi Vintaj, Sebahagiannya Sukar Dicari

Pada mulanya Dulkifli Djuaeri, 37, hanya berminat dengan barang-barang bundle (terpakai) dan kebetulan ketika itu kasut Adidas Rekord menjadi kegilaan mereka yang menggemari barangan bundle.

kasut

Advertisement

Terikut dengan selera ‘kaki bundle’ ketika itu, ia mula mencari di setiap pelusuk tempat bagi mendapatkannya. Akhirnya setelah puas mencari, dia berjaya membelinya sewaktu berlangsungnya Festival Vintaj Kuala Lumpur pada 2011.

“Kasut Adidas Rekord saya beli pada harga sekitar RM550 pada waktu itu. Kasut ini mempunyai warna yang agak menonjol dan itu juga menarik minat saya. Ia adalah model pertama Adidas Rekord yang dihasilkan sekitar tahun 1970-an,” katanya.

Sejak itu, dia mula obses mengumpul koleksi kasut Adidas terutamanya koleksi vintaj.

Menurut Dulkifli yang menetap di Batu Caves, Selangor, terdapat lebih 200 pasang kasut Adidas yang berjaya dikumpulnya. Malah, kesemua kasut jenama Adidas tersebut adalah koleksi vintaj yang dikeluarkan antara tahun 1950-an hingga 1990-an yang sukar ditemui pada masa kini.

Katanya lagi, koleksi kasut Adidas vintaj yang disimpannya terdiri daripada pelbagai warna dan jenis.

Dek kerana terlalu banyak, dia terpaksa membuat rak-rak kasut khas yang diletakkan di ruang tamu rumahnya untuk menyimpan koleksi kasut tersebut.

kasut

Dulkifli yang bekerja di sebuah syarikat swasta menjelaskan, kasut paling lama yang ada dalam simpanannya kini adalah Adidas jenis Rom yang dihasilkan di Jerman Barat pada tahun 1959.

Dia membeli kasut tersebut lima tahun lalu pada harga RM1,200.

Sepanjang mengumpul kasut tersebut, Adidas jenis Reviera merupakan kasut termahal yang pernah dibelinya.

Adidas Reviera yang dihasilkan pada tahun 1969 itu dibeli oleh Dulkifli pada harga RM1,500.

Kerana minat yang mendalam, Dulkifli tidak kisah untuk membelanjakan sejumlah wang bagi mendapatkan kasut Adidas vintaj kerana baginya yang penting adalah kepuasan.

kasut

Manakala untuk mendapatkan kasut-kasut Adidas vintaj, kebiasaannya dia akan ke kedai-kedai bundle selain bertukar-tukar dengan komuniti pengumpul Adidas yang lain.

Katanya, dalam koleksi kasut Adidas simpanannya, Dulkifli amat menyayangi tiga pasang kasut Adidas model Oasis yang dihasilkan di Perancis sekitar tahun 1980-an.

Malah ada pengumpul kasut menawarkan untuk menukarnya dengan kasut mereka yang lain, tetapi dia menolaknya kerana tahu Adidas Oasis ini antara model yang susah didapati.

Dalam pada itu, Dulkifli menjelaskan, dia sendiri tidak tahu berapa banyak wang yang telah dihabiskannya untuk mendapatkan keseluruhan koleksi kasut Adidas tersebut.

Namun jika dihitung nilai pasaran sekarang untuk kesemua kasut yang berada dalam simpanannya adalah sekitar RM180,000.

Selain menyimpannya, Dulkifli turut tidak menolak untuk menjual koleksi kasut Adidas miliknya jika ada orang lain yang berminat. Menurutnya, harga sesuatu kasut juga boleh melonjak tinggi sekiranya kuantiti yang ada dalam kalangan pengumpul tidak banyak.

kasut

Menurutnya, komuniti-komuniti pengumpul kasut Adidas yang datang dari serata dunia juga akan melakukan pertukaran antara satu sama lain jika mereka berkenan dengan sesuatu model.

“Pernah saya terjumpa kasut Adidas Cord yang dijual pada harga RM250 dan Monte Carlo berharga RM550 di kedai bundle sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur.

“Memandangkan saya tidak mengetahui nilai sebenar kasut tersebut saya telah bertanya kepada salah seorang pengumpul dari Britain, Neil Selvey tentang kasut tersebut,” ceritanya.

Tambahnya, melalui perkenalan dengan Neil Selvey juga, dia telah dijemput menyertai komuniti antarabangsa Adidas Only Addiction (AOA).

Komuniti itu menjadi platform untuk pengumpul-pengumpul kasut Adidas bertukar-tukar pendapat antara satu sama lain.

kasut

Tambahnya, melalui komuniti itu juga Dulkifli telah terpilih untuk menjadi antara penyumbang dalam penerbitan buku AOA. Buku AOA yang telah diterbitkan pada 2016 dan 2017 itu menceritakan tentang lima kasut Adidas kesukaan pengumpul-pengumpul dari serata dunia.

Sumber Berita: Kosmo! Online

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...