Tindakan seorang lelaki yang memasang kamera tersembunyi di dalam tandas wanita mengundang padah apabila seorang wanita yang merupakan rakan sekerjanya menemui kamera tersebut di bawah sinki, lapor Harian Metro.
Akibat perbuatannya itu, polis berjaya menahan lelaki berusia 41 tahun itu selepas mendapat laporan daripada seorang wanita yang merupakan pekerja di kilang tempatnya bekerja di Taman Perindustrian, Batu Caves.
Asisten Komisioner Arifal Tarawe selaku Ketua Polis Daerah Gombak berkata, perkara itu disedari oleh wanita berkenaan selepas dia melihat satu objek yang berbentuk pen di bawah sinki tandas wanita.
“Dia mengambilnya dan membawa pulang ke rumah serta memeriksa pen terbabit dan didapati terdapat beberapa rakaman video menunjukkan mukanya serta beberapa rakan sekerjanya yang lain”
“Dia mengesyaki pen berkenaan adalah milik seorang pekerja yang dikenalinya kerana terdapat paparan muka suspek di dalam video itu ketika sedang meletak dan mengambil kamera intip”
Selepas laporan polis diterima, polis menahan seorang pekerja kilang berkenaan dan siasatan mendapati suspek melakukan hal tidak bermoral itu secara berseorangan untuk tujuan rakaman video bagi kepuasan diri. Apa yang lebih dahsyat, suspek berbuat demikian sejak awal Mac lalu.
Kini, suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995.