Mencabul anak sendiri adalah satu perbuatan yang amat keji dan pastinya menimbulkan kemarahan di kalangan orang ramai tanpa mengira status sosial, usia dan jantina.
Mungkin kerana kebencian itulah, seorang lelaki yang dimasukkan ke dalam lokap kerana mencabul anak sendiri telah pun mati dibelasah oleh tahanan lain di Serdang Bedagai, Sumatera Utara.
Lelaki tersebut ditahan susulan laporan oleh isterinya yang mendakwa suaminya itu mencabul anak mereka yang berusia 14 tahun. Jasad lelaki berusia 43 tahun tersebut dipenuhi luka lebam dipercayai selepas dibelasah beramai-ramai oleh tahanan lain.
Menurut Ketua Polis Serdang Bedagai, AKP Robin Simatupang, mangsa iaitu anak perempuan lelaki tersebut kini dipercayai hamil akibat perbuatan tertuduh. Tambahnya, kejadian ini dipercayai berpunca apabila tahanan lain mengetahui tindakan suspek, membuatkan mereka geram dan membelasah lelaki itu di dalam lokap.
“Pada awal pagi Sabtu, penjaga tahanan mendengar kekecohan dari dalam sel dan seorang tahanan melaporkan kepada petugas bahawa tertuduh dalam keadaan lemas dan tergeletak. Susulan itu, dia dikejarkan ke Hospital Sultan Sulaiman Sei Rampah untuk menjalani rawatan,” katanya.
Pun begitu, dia disahkan meninggal dunia sekitar pukul 6.10 pagi waktu tempatan. Susulan itu, puluhan tahanan yang berada di lokap berkenaan telah dipanggil untuk memberi keterangan.
Tambah Robin, pihak polis telah menjalankan pemeriksaan terhadap semua 47 tahanan di satu blok di pusat tahanan berkenaan. Katanya 17 daripada mereka mengaku tidak menyukai dan membenci tertuduh kerana telah memperkosa anak sendiri.
“Ditambah sel tahanan yang terlebih kapasiti, sempit, padat dan tersumbat, membuatkan tahanan kurang rehat, tidak tenang serta mudah emosi,” tambahnya.
Pada 25 September lalu, tertuduh juga didakwa telah dibelasah penduduk tempatan sebelum dihentikan ketua kampung. Semoga tragedi ini menjadi pengajaran kepada semua.