Kami duduk di luar sampailah hari cerah, aku rasa dah jam 8.00 pagi masa itu. Tak ada seorang pun berani masuk ke dalam rumah.
Mulut masing-masing terkunci sebab masih terkejut, tak tahu apa nak dicakapkan dah. Sesekali terdengar Wan batuk-batuk, kemudian beritahu pergelangan lehernya sakit macam dicekik. Tetapi memang lehernya merah dan berbirat, namun aku dengan Man tak pula ada kesan macam dia tu.
Aku rasa kami semua macam tekejut lagi dengan kes semalam tu, sebab inilah kali pertama aku dengan Wan alaminya. Tetapi Man dah biasa tinggal MRSM jadi dah biasa kes macam ini, tetapi kali ini lagi teruk sebab ia seperti menyerang secara fizikal secara tidak langsung walaupun tak ada dari kami yang cedera kecuali Wan yang batuk-batuk mendakwa dicekik.
Perut pula dah lapar, nak keluar pergi beli makanan di restoran tetapi dompet dengan kunci motor ada dalam rumah. Man yang paling berani pun tak berani dah nak masuk. Aku pujuk Man supaya masuk sama-sama sebab dah lapar sangat, sejak malam tadi tak makan, hanya sempat makan Dunkin’ Donuts yang ada jual di luar Makro.
Tetapi baru saja nak melangkah masuk, tiba-tiba radio berbunyi kuat rasa bergegar rumah sebab bergema. Aku berundur lari ke belakang sebab aku ingat Man pun berlari tetapi tak sangka pula Man macam orang gila terjerit-jerit mengamuk dalam rumah itu.
Aku dengan Wan tak tahu nak buat apa, Man dah memaki hamun benda itu dalam rumah, aku risau saja nanti dia pula kena sampuk atau apa.
Wan tak nak masuk, aku berlari ke dalam juga, gagahkan diri risau jadi apa-apa pada Man, tetapi Alhamdullilah tak ada apa-apa sambil dia bercekak pinggang dalam rumah itu, aku padamkan radio, tak ada apa-apa yang berlaku. Buka pintu rumah besar, pintu depan, belakng, tingkap, pintu bilik–semua kami buka luas.
Masa nak beli makanan pun masalah, sebab motor ada satu saja, jadi hanya berdua saja boleh pergi, takkan seorang nak tunggu di rumah itu, haih tak sanggup aku. Akhirnya Man saja yang keluar beli nasi lemak, aku dengan Wan duduk di tepi jalan rumah berdepan dengan rumah sewa.
Sambil-sambil tu aku boraklah dengan Wan, apa jadi malam tadi yang dia sampai terjegil mata. Dia cerita dia nampak bayang budak-budak melayang-layang di atas kepala Man sambil bakar rambut Man dengan mancis.
Tetapi bayang-bayang itu tak puas hati sebab tak dapat bakar rambut Man, bayang-bayang itu ketuk kepala Man yang sedang laungkan azan berganti-ganti, ketuk dengan pemetik api sampailah Man terduduk.
Selepas itu Wan nampak kepala Man pecah dan darah menyembur-nyembur, itu yang matanya terjegil tak boleh tutup dan badannya menggigil ketakutan.
Selepas baru benda itu serang aku, Wan nampak benda itu bakar mata aku dengan api, sebelum salah satunya mencekik Wan. Itulah yang Wan ceritakan pada aku dan buat aku terkedu. Tetapi Alhamdulillah mungkin itu perasaan si Wan saja, sebab tak ada apa-apa kecederaan fizikal pada aku dan Man macam yang Wan cakap.
Tetapi ada logiknya kalau difikirkan balik apa yang Wan saksikan, sebab tiba-tiba aku rasa dunia gelap gelita. Sebelum aku berjaya melawan meronta berkali-kali, tetapi aku rasa lebih dua setengah jam aku bergelut, aku pun tak tau apa dah terjadi dalam dua setengah jam yang hilang tu (aku rasa lemas).
Pagi tu kami makan nasi lemak di luar rumah saja, walaupun pintu rumah dah terbuka luas, tetapi hati kami kuat kata tak nak masuk, mungkin trauma. Tunggu keluarga Man datang dari Sepang lama sangat, iyalah nak bawa pawang hebat dari Banting kononnya.
Jam 11.30 pagi barulah keluarga Wan datang sampai tiga kereta, semua adik-beradik dia datang nak tengok sendiri agaknya. Turun-turun saja dari kereta pawang itu dah geleng-geleng kepala.
Rumah apa kamu semua duduk ni?
Sambil-sambil itu salam dengan kami, kata namanya Tok Sheikh. Salam-salam saja, kata semangat kami dah kena tarik, kena diseru balik. Aku sampai sekarang tak faham apa maksud Tok Sheikh itu.
Kami kena suruh masuk dalam van, hanya Tok Sheikh dengan ayah Man saja yang masuk ke dalam. Belum masuk baru kat pintu jeriji, radio yang plagnya aku dah cabut tiba-tiba terpasang kuat menyebabkan adik-beradik Man bertempiaran lari masuk ke kereta.
Dahlah lagu India, mungkin masa THR Raga kot, entah la aku pun tak tahu. Dengar radio kuat bunyi pun dah lari, bayangkan kalau tahu yang radio tu plagnya tak bersambung. Hmm.
Lama juga Tok Sheikh kat dalam rumah tu, ayah Man hanya tengok dari luar sebab dia pun aku rasa dah gegar lepas cuba padamkan radio tetapi plag tak bersambung.
Dalam van semua terkunci mulut, anak-anak buah Man yang kecil-kecil semua ketakutan, apalah kes-kes macam ini bawa anak-anak kecil pula, tak fasal-fasal budak-budak itu sekali trauma. Tak lama kemudian aku tengok Tok Sheikh keluar sambil menjinjing anak patung beruang yang coklat besar itu.
Mahu saja mata aku terjojol keluar melihatnya. Mana taknya, kami bertiga sendiri yang buangnya semalam siap masukkan dalam plastik sampah hitam dan ikat, masukkan dalam tong sampah di depan rumah. Man dan Wan tengah tidur-tidur ayam, aku cuit suruh tengok apa yang Tok Sheikh jinjing. Wan hanya mengucap saja macam tak percaya, Man pula terus meluru pergi ke tong sampah untuk tengok ada tak anak patung di dalam tong sampah.
Dia jerit-jerit panggil aku, adalah di dalam ni, itu yang lain. Aku berlari tengok, ya betul ada, jadi aku ambil dan buka plastik itu, tetapi aku terkejut sebab berat. Aku periksa di dalam itu bukannya anak patung yang ada, hanya batu-bata yang aku gunakan untuk menyanggah pintu-pintu bilik supaya tak tertutup dengan baju-baju kotor kami yang letak dalam bilik air.
Aku tak boleh nak cakap apa dah. Macam mana boleh ada dalam tu pula?
Tok Sheikh datang pada kami marah-marah sebab tak buang benda itu, dan aku dah tak tau nak cakap apa dah, semua Man yang jawab. Waktu itu juga Tok Sheikh pagar rumah kami, tabur garam kasar dan air penawar atau apa entah.
Sambil itu keluarga Man beli makanan di restoran dan buat kenduri di rumah tu, buat kenduri kesyukuran masuk rumah baru. Tiba-tiba rasa lapang rumah itu, tak adalah gangguan macam malam semalam.
Kami berharap semua dah selesai, sebab esok Isnin, adik-beradik Man semua balik kecuali ayah dengan emaknya yang dah pencen. Iyalah mereka nak pastikan betul-betul selamat,dan mereka pun risau dengan keselamatan anak mereka.
Hari Ahad atau Isnin itu tak ada apa-apa berlaku, aku yang pada mulanya ragu-ragu sekarang dah mula rasa selamat. Sampailah hari Khamis siang, ayah dengan mak Man duduk di rumah itu, langsung tak ada perkara pelik berlaku lagi.
Jadi Khamis petang itu, mak ayah Man nak balik, tetapi sebab fikirkan dah jam 6.00 petang masa itu, hujan lebat pula, ayah Man tak yakin nak memandu kereta balik Sepang walaupun dekat saja. Dah berusia, mata pun tak terang. Khamis malam Jumaat itulah benda itu datang balik, disaksikan oleh mak bapa Man sendiri.
Malam Jumaat tu kami sembahyang maghrib secara berjemaah, selepas tu baca Yasin ramai-ramai macam hari-hari sebelumnya, supaya benda itu tak datang ke rumah tu dan kacau kami lagi.
Tengah baca Yasin, tiba-tiba pintu dapur diketuk berkali-kali menyebabkan kami semua terhenti membaca yasin, air di dalam bilik air pula mencurah-curah keluar. Tengah aku sibuk pandang pintu dapur yang diketuk, aku ternampak tombol air di sinki dipusing menyebabkan air di sinki mencurah-curah.
Kami bangun beramai-ramai sebab ayah Man suruh rapat-rapat, kemudian kami tutup air di sinki dan kedua-dua bilik air yang mencurah.
Tetapi tak berhasil bila air keluar balik selepas kami tutup, nak tak nak kami tutup suis utama di luar rumah. Itu sajalah cara, ayah Man telefon Tok Sheikh yang benda itu datang balik, entah apa yang dibisingkan Tok Sheikh, kononnya kami langgar pantang. Masa mengubat hari itu tak ada pula dia cakap pasal pantang-pantang ini, ini barulah nak cerita pasal pantang.
Kononnya kami langgar pantang sidai pakaian dalam rumah, dia tak ada pesan apa-apa pun sebelum ini, iyalah, macam seluar dalam dengan stoking takkanlah nak jemur di luar pula.
Dah puas benda tu main air, dia kacau elektrik pula, dari kipas siling, kipas meja, radio sampailah ke lampu yang membuatkan aku tambah kecut. Sebab lampu terpadam kami pakat-pakat duduk di bawah suis utama, kemudian pasangkan balik lampu.
Kami duduk di bawah suis tu, tak ada pula dia main suis dah selepas itu. Aku teringat lauk yang dah dibeli untuk makan malam dalam pinggan di dapur, hanya tunggu nasi masak saja. Masa macam ini nak makan pun dah tak ada selera, terbantut memikirkan hal macam ini.
Selepas itu Man dan ayahnya ke dapur ambil lauk-lauk itu nak ajak makan, katanya kalau badan lemah tak makan lagi benda itu senang kacau kita–sebab kita tak ada tenaga.
Aku hilang selera nak makan, jadi aku minum saja, air limau aku buat tadi sebab belum beli kordial lagi. Lagi pun buat air limau senang, limau, gula dan ais batu saja, dah siap air limau sejag. Tetapi aku pelik masa tuang air ke dalam gelas, aku perasan air tu jadi kuning. Eh, bila pula jadi warna kuning, setahu aku putih saja tadi.
Aku buka penutup jag itu, ya Allah bau hancing, dah kena kencing. Nasib baik aku perasan, kalau tak memang dah minum air kencinglah agaknya aku masa itu. Masa mak Man nak senduk nasik, dalam periuk nasi seketul najis macam najis manusia ada di dalam periuk nasi Waktu dibuka penutup periuk itu.
Nasi masih panas sebab baru masak, bayangkanlah bau najis itu semerbak mengalahkan bau nasi, aku sampai keluar rumah termuntah-muntah. Manalah datangnya semua itu?
Sebab tak tahan bau, semua makanan tu kami letak di luar rumah, memang sah semua makanan ada najis, entah najis apa kami pun tak tahu tetapi rasanya najis manusia. Duduk di luar rumah kami bincang-bincang, esok nak cari orang pandai mengubat di kawasan Mambau, lepas sembahyang Jumaat kami bercadang nak cari, sebab Tok Sheikh itu tak boleh dpercayai.
Sebab benda itu datang balik, konon-konon langgar pantanglah apalah, dahlah dibayar RM 200 untuk mengubat. Sibuk-sibuk berbincang, dalam jam 11.00 malam, dengar di ruang tamu rumah suara kanak-kanak gelak-gelak sambil dengar hentakan tapak kaki berlari-lari seperti yang kami alami hari itu.
Yang nampak hanya bayangan hitam tiga orang kanak-kanak sambil membawa api, tapi yang hairannya kali ni aku, Man dan Wan tak nampak, yang nampak hanya ayah dengan mak Man saja. Kami hanya dengar suara gelak budak-budak saja. Tiba-tiba mak Man menjerit, telekung terbakar, cepat-cepat kami masuk rumah takut tak fasal-fasal rumah pula yang terbakar.
Memang terkejut tiba-tiba telekung terbakar, kami rapat-rapat juga sambil duduk di bawah suis utama. Hairan macam mana telekung itu boleh terbakar.
Mak dengan ayah Man kata mereka sendiri nampak benda itu yang bakar, tetapi pelik kali ini kami tak nampak, yang nampak hanya telekung yang berlipat tiba-tiba terbakar. Bunyi gelak-gelak itu sayup-sayup saja lepas kami masuk rumah, tetapi tiba-tiba ada bau tengik macam sesuatu hangus.
Ya Allah, ayah Man menjerit tengok sejadah terbakar, masa tu aku tak nak pergi dapur ambil air, sebab pili air di luar dah tutup mana ada air. Aku guna air mineral dalam botol di depan aku untuk makan tadi, sambil aku hempas-hempas sejadah tu. memang tak leh jadi kali ni, dah sampai bakar-bakar barang pula.
Tetapi kali ini aku taklah setakut hari itu, mungkin sebab ramai, kemudian ada orang tua pula, rasa macam selamat sedikit walaupun ancamannya lebih bahaya. Lepas sejadah, langsir pula jadi mangsa, habis terbakar langsir. Kali ini Man ambil air sabun dalam baldi di bilik air, terus simbah sebab api itu jilat langsir dengan cepat. Padahal kami dekat dengan langsir tu, sebab duduk di depan pintu di bawah suis utama, tengok-tengok dah terbakar besar.
Tak habis di situ saja, kotak-kotak pun habis terbakar semua, tak tau lah nak buat apa lagi, akhirnya kami angkat semua barang bawa ke luar rumah, apa yang boleh terbakar saja semua kami angkut keluar rumah, letak di luar pintu. Sedang sibuk angkat kotak-kotak tu, tiba rasa asap banyak dari dalam bilik aku, aduh!
Rupanya kain pelikat yang aku buat jadi langsir tingkap dah terbakar separuh, kelam kabut aku tarik sampai tekoyak-koyak hujung kain itu, sebab air dah tak ada, pili luar dah tutup, masa aku sentap aku rasa paku-paku itu terpelanting kerana aku sentap sekuat hati. Masa itu juga Man telefon pakcik tuan rumah, cakap rumah tu ada masalah.
Itu rumah baru mana ada masalah, pakcik tu cakaplah.
Ini bukan masalah rumah la pakcik ni masalah rumah tu berhantu.
Pakcik itu gelak saja dan jawab, “kalau you nak keluar, deposit rumah dua bulan dan air eletrik I tak nak bagi balik.”
Itu saja la yang Man cakap dengan aku. Nak tak nak aku cakap dengan mereka kita kena pulihkan rumah ini, mana ada duit deposit nak cari rumah lain dah. Rumah lain dia minta 2+1, deposit air/letrik RM 200, sewa sebulan RM 270.
Sebab dah pagi, kesian dengan mak Man yang dah macam nak demam, pilihan terahir kami tidur dalam kereta, tetapi biarkan pintu rumah itu terbuka saja. Tingkap pintu kereta saja buka sedikit, iyalah nanti mati kepanasan pula.
Sampailah pagi subuh tak ada apa-apa berlaku sampailah ayah Man pasang kaset bacaan Al-Quran dalam kereta, jadi apa berlaku di dalam rumah tak dengar.
Memang aku tak boleh lelap langsung, dahlah esok ada kuliah, nak tak nak aku fikir terpaksalah ponteng. Aku dengan Wan memang tak boleh tidur, tak tahu kenapa. Man dan keluarga dia semua nyenyak tidur. Dalam jam 5.00 pagi, tiba-tiba atas kereta macam dipijak-pijak, semua terjaga sebab seperti orang meloncat sambil berlari-lari atas kereta.
Aku tunduk masa tu, tiba-tiba aku dengar mak Man menjerit, aku pun terpandang pada cermin depan, selipar aku dengan kasut Wan berjalan sendiri tetapi macam diengsotkan.
Man keluar dari kereta, kemudian cuba ambil kasut dengan selipar itu dan baling ke pintu jeriji. Waktu itu aku boleh dengar macam ada benda terhempas jeriji itu, aku tak tau apa benda sebab tak nampak, tapi aku rasa mesti budak-budak yang kami nampak sebelum ini.
Waktu tu juga ayah Man laungkan azan dan aku baca ayat kursi kuat-kuat, sampailah jam 6.30 pagi, hari dah nak siang. Kasihan aku tengok mak Man, dahlah dia ada darah tinggi dan sakit jantung, sempatlah aku tengok dia macam meracau sekejap sebelum suami dan anak dia tenangkan.
Jam 8.00 pagi itu abah Man suruh kami angkat semua barang, masukkan dalam kereta. Habis semua bertabur dalam bonet kereta, kecuali penyapu, baldi dan benda-benda besar tu tak bawa, kereta manalah nak muat.
Sebab tak puas hati pada tuan rumah, aku solexkan saja rumah itu di bahagian dapur dan depan, kemudian lampu dan kipas aku biar terpasang saja. Biar dia bayar bil eletrik mahal bulan itu, kemudian nak masuk rumah kena potong dulu Solex itu, dah dia main-mainkan kami, selepas itu nak pulangkan duit deposit sedikit pun tidak.
Jumaat itu kami tak pergi kelas, kemudian menumpang di rumah saudara Man di Bukit Chedang untuk sementara waktu, susah jugalah, walaupun dekat dari kolej tapi tak ada bas, Man terpaksa ulang-alik angkut kami dua kali awal minggu, sebelum menyewa di Central Park dengan dua orang lagi rakan sekelas kami.
Mac 2002, keluar di Harian Metro tentang rumah terbakar sendiri di Seremban 2. Aku dah tahu di mana tempat tu, sebab aku dah alaminya, dah sah-sah di rumah yang aku pernah sewa dulu.
Siapa ada berita pasal itu, tolonglah tepek di sini, dulu aku ada simpan keratan berita itu, tetapi dah entah mana letaknya.
Jadi kepada kamu semua, kalau nak sewa rumah kena pastikan rumah itu dulu, jangan main tarah saja. Sekali dapat rumah bekas tokong tak pun kuil, takkah naya? Tapi sampai sekarang aku tak tahu lagi kenapa ada bayangan tiga orang budak yang bawa mancis bakar-bakar barang di rumah itu.
TAMAT