Lelaki Cerita Pengalaman Seram Di Rumah Sewa Selepas Sambut Aidilfitri (Pt. 1)

Trending

Lelaki Cerita Pengalaman Seram Di Rumah Sewa Selepas Sambut Aidilfitri (Pt. 1)

Part 2

Akhir tahun 2001, di semester akhir aku terpaksa berpindah kolej ke Seremban 2. Ini disebabkan kolej aku belajar itu nak buat penggabungan lima cawangan kolej yang akan menjadi satu kolej utama di Seremban 2.

Advertisement

Semester baru bermula pada Disember 2001, selepas habis peperiksaan bulan September itu kami budak kolej berlumba-lumba mencari rumah sewa di sekitar Seremban 2. Maklumlah bulan Oktober dah nak puasa, November pula nak raya. Semua tak ada masa nak cari rumah sewa selepas raya nanti.

Sepatutnya semua pelajar dari cawangan aku duduk hostel, tetapi disebabkan hostel penuh dan pihak kolej mensasarkan hostel untuk pelajar-pelajar bagi kemasukan Disember maka kami budak-budak senior disuruh mencari rumah sewa berdekatan dengan kolej.


Aku, Wan dan Man berpakat menyewa rumah teres di Taman Garden Homes Seremban 2 sebab ada bas dari perumahan ke kolej waktu itu. Lagipun waktu Itu perumahan Itu kosong dah tak ada orang macam sekarang ini, cari rumah sewa melalui Internet.

Selepas penat menelefon sana sini akhirnya kami dapat rumah teres tiga bilik, dua bilik air di lot tepi, tepi jalan dan senang nak tunggu bas sebab berjalan 20 langkah dah sampai perhentian bas.

Tetapi kami pelik sebab rumah lot tepi yang besar sedikit dari rumah teres di bahagian tengah itu lebih murah, logiknya mana ada rumah lot tepi atau corner lot lagi murahkan? Kami dapat harga RM 220, konon-kononnya rebat pelajar.

Jadi selepas dah sahkan ngan pakcik Cina tu, habis peperiksaan. Selepas dah kemas semua barang sebab nak balik kampung cuti semester sebulan setengah, kami memasukkan barang pada bulan September itu juga, tetapi sewa hanya berjalan mulai bulan November.

Wah, bertuah betul masa itu, semua asyik puji-puji pakcik itu.

Lepas sembahyang Jumaat, kami tinggalkan kolej dan daerah yang aku tinggal selama lebih dua tahun berhijrah ke Seremban 2, kami menyewa sebuah van untuk angkut barang-barang masa itu. Caj okaylah dalam RM 50, jauh juga masa itu, adalah dalam 60 km campur dengan jalan pusing-pusing dekat bukit.

Lupa nak cerita, kami tak pernah pun tengok rumah itu lagi, sebab dah ajak pakcik tu nak tengok-tengok rumah itu tetapi dia kata semua rumah sama saja.

Waktu itu kami jumpa dia di 7 Eleven sebelah Terminal 1 itu, entah sekarang ada lagi ke tak ada. Sekarang dah ada Petronas rasanya. Selepas bayar 1+1 sewa + deposit elektrik dan air kami pun dapatlah kunci rumah itu, tanpa dapat tengok rumah itu pun.

Iyalah masa itu kami dah terdesak sangat sebab nak balik kolej cepat, esok nak peperiksaan lagi.

Balik cerita tadi, sampai kat perumahan Garden Homes, kami pun pening cari alamat rumah pakcik itu. Selepas tanya pada pengawal keselamatan (masa itu perumahan itu kosong lagi, jadi pengawal keselamatan pun ada) baru jumpa rumah itu.

Wah, betul-betul tepi jalanlah. Bertuah betul kami masa itu, tetapi masa nak buka pagar rumah itu kami dah terkejut sebab banyak bekas colok-colok cina kena bakar, duit kertas yang kena bakar, kemudian di tingkap gelongsor tergantung kain merah.

Pakcik van itu pun cakap:

Rumah apa kamu semua sewa ni, ini macam bekas tokong mereka saja

Aku dengan rakan-rakan pun senyap saja, tak nak cakap lebih-lebih. Jadi kami pun angkat barang-barang, letakkan dalam rumah. Lagilah terkejut tengok dalam bilik-bilik itu berselerak dengan kain merah kuning yang ada kesan dibakar.

Sebab masa itu dah petang, kami berpakat, nanti lepas raya kita kemas sebab penerbangan aku nak balik kampung nun di Malaysia Timur dah nak dekat. Aku bertolak jam 7.30 malam, masa itu sudah jam 4.00 petang. Nanti tertinggal penerbangan pula.

Sebagai langkah keselamatan, kami pasang satu lampu rumah, satu lampu di luar dan semua pintu bilik kami buka dan sandarkan dengan batu-bata yang banyak di halaman rumah kami itu.

Masa dah nak balik itu, tugas akulah tutup tingkap gelongsor dengan jeriji, sebab masa itu kunci satu saja dan akulah yang pegang sebab aku pemegang syer terbanyak. Secara automatiknya aku duduk di bilik tidur utama yang ada bilik air. Masa nak tutup jeriji itu aku perasan ada bayang-bayang kanak-kanak kecil menekap muka pada tingkap gelongsor tu, aku terperanjat sampai terjatuh kunci.

Masa nak kutip kunci aku perhatikan lagi sekali, tak ada apa-apa pula. Lega hati aku, dalam terkejut dan risau aku pujuk hati aku yang aku nampak itu mungkin bayang-bayang aku yang tengah tutup jeriji.

Iyalah kan, tingkap gelongsor itu besar tiga pintu, tak letak langsir lagi jadi otak aku positif mengatakan yang itu bayang-bayang aku, tak pun kawan-kawan aku. Masa itu aku tak nak kecoh-kecoh, nanti kawan aku tak jadi pula duduk rumah itu. Lagi pun tak sahih lagi apa yang aku nampak itu.

Semua dah masuk van, tinggal aku saja lagi sebab nak kunci pintu pagar luar rumah , sekali lagi aku nampak ada bayang-bayang di rumah itu, kan terang sebab langsir tak ada dan lampu pula pasang. Aku dah rasa tak sedap hati.

Bayang-bayang tu macam berlegar-legar berdekatan kotak-kotak yang kami letak itu, bayang-bayang budak-budak kecil. Kotak-kotak itu tak ada apa-apa pun kecuali buku-buku dan barang kami yang berat dan malas nak bawak balik rumah. Masuk ke dalam van saja, Wan senyap saja tak bercakap apa-apa.

Aku tak tahu pula kenapa dengan dia. Man pula sibuk berborak dengan pakcik van tu, pula tentang macam mana nak bersihkan dan samak rumah itu, sebab pakcik itu syak yang itu bekas tokong cina dan bukannya rumah cina yang kami fikir mula-mula.

Sempat jumpa pengawal keselamatan sekejap, suruh dia tengokkan rumah itu Selepas itu ajak pakcik van makan di Restoran Yaznie sebelum hantar kawan-kawan aku ke Terminal 1 dan aku ke KLIA.

Lepas beraya seminggu di kampung, kami pun berkumpul di rumah itu dalam tengahari. Seorang kawan aku bawa motor, iyalah kampung dekat saja di Sepang, bolehlah bawa motor abah, tapi elok juga si Man ni ada motor, bolehlah suruh dia beli barang-barang nak kemas rumah.

Tak ada pengalaman duduk di rumah sewa masa itu, tak sangka beli barang-barang nak kemas rumah pun boleh tahan juga: penyapu, baldi, Fabuloso dan macam-macam lagilah, nasib baik ada kedai runcit Makro masa itu, selain dari Furaqa’, tetapi macam biasalah apa barang pun tak ada kecuali bahan makanan basah.

Masa mengemas itu tak ada apa-apa yang pelik kami alami, okay macam biasa. Seronok-seronok pasang radio kuat-kuat sambil kemas rumah.

Cuci satu rumah, kemudian buang barang-barang peninggalan yang ada. Semua aku buang tak tinggal satu pun, tapi masa nak kemas bilik air kat bilik aku, aku terkejut sebab nampak ada teddy bear besar atas pengepam tandas, sebab masa kami masuk dulu tak ada pula mainan itu, teddy bear warna coklat pakai baju kot dan ada bentuk hati pada dadanya.

Aku cakap kaWan-kaWan yang aku jumpa teddy bear, tak dijangka muka Wan berubah betul padahal tadi bukan main, siap nyanyi-nyanyi lagu XPDC yang pada masa itu penyanyinya Ali, rock sampai jerit-jerit. Aku tengok dia aku pula yang gabra, sebab Wan dan Man pun dah jenguk bilik air itu sebelum ni (masa pindah dulu) takkan ada sesiapa pula yang masuk letakkan di bilik air bilik aku itu.

Nak kata tuan rumah, jeriji depan belakang kami dah kunci dengan kunci baru masa angkat barang. Aku pun tak nak fikir panjang-panjang nanti aku yang kecut perut sebab aku yang nak duduk di bilik itu nanti, bukan mereka

Jadi aku masukkan teddy bear itu dalam plastik sampah hitam yang besar kemudian aku ikat dan letak di dalam tong sampah di depan rumah.

Tak nak fikir lama-lama pasal bab tu, kami pun kemaslah semua temasuk longkang belakang yang penuh dengan batang-batang colok tu. Lebih lima jam kemas baru selesai, baru macam rupa rumah, bau Fabuloso pun merebak-rebak.

Pasang langsir pada tingkap gelongsor kemudian tingkap pula letak kain pelikat yang di gunting-gunting sebab masa tu tak ada langsir tingkap lebih. Wan bagus budaknya berbanding dengan aku, sempat dia baca Yasin selepas sembahyang Maghrib.

Aku dengan Wan pula sibuk lepak depan rumah, maklumlah hari pertama, rumah terang benderang. Lepak luar rumah sebab jiran-jiran tak ada, yang ada selang 10 buah rumah, itu pun tak sempat kenal masa itu, satu keluarga cina, sebab kami sibuk kemas rumah.

Siap baring-baring kat luar, iyalah penat, orang pun tak ada. Kawasan itu dah jadi jajahan kami dah, nak buat apa pun suka hatilah. Sedang kami lepak-lepak di luar, Man jerit-jerit dari dalam bilik air. Masa itu bilik air ruang tamu bersepah dengan baju-baju kotor, mop, dan baldi-baldi jadi dia gunakan bilik air bilik aku.

Aku dengan Wan berlari-larilah. Kenapa pula Man tu jerit-jerit? Apabila sampai aku terkedu lihat bilik air terkunci dari luar dan lampu bilik pula ditutup. Mana taknya Man menjerit, orang sibuk ambil wudu’ boleh pula kena tutup pintu dengan lampu.

Siap marah-marah aku dengan Wan kononnya saja nak kenakan dia. Aku dah memang dah gelabah, Wan pula jangan cerita, harap badan saja besar tetapi memang penakut.

Berkali-kali cakap pada Man baru dia terima, tetapi dia tergamamlah sedikit. Dia cakap masa dia sedang mengambil wudu’, dia nampak ada tangan tarik pintu dan kunci sebelum tutup lampu.

Masa itu dia tengah membongkok membasuhbahagian kaki, dia syak kami pada mulanya sebab dia cakap tangan tarik pintu. Akulah yang dituduh sebab tangan aku kurus berbanding Wan, padahal masa itu kami tengah syok lepak di luar rumah.

Selepas itu kami dah mula rasa pelik, Man sembahyang Isyak. Aku dengan Wan duduk bersandar pada dinding ruang tamu dekat pintu, sambil berborak pasal benda yang tak kena di rumah ini. Aku sebut semua hal dari patung sampailah kes di bilik mandi tadi, aku saja tak nak sebut pasal kes nampak budak tepek muka pada cermin, nanti dah berat sangat, ada pula yang pengsan.

Masa sembahyang, Man tiba-tiba terhenti, kata kipas mati sendiri. Kipas meja yang pusing-pusing mati sendiri macam ditutup pula suis kipas.

Lagilah tambah seriau. Macam manalah kipas itu boleh mati sendiri sedangkan tak ada sesiapa yang dekat dengan kipas itu. Extension kipas itu dari dapur rumah sebab di depan dah penuh dengan komputer dan radio kami.

Sunyi sebentar, tak ada sesiapa bercakap, tiba-tiba Man mencelah.

Extension ni tak elok kot dah, barang kat Makro bukan semuanya elok.

Aduh aku tahu sangatlah ayat sedapkan hati macam itu. Man bergerak ke dapur untuk tengok suis sama ada masih terpasang. Tetapi memang sah dah tertutup, seolah ada yang menutupnya kalau difikir secara logik.

Argh, aku masa itu dah fikir macam-macam, Man yang tadi bukan main positif pun dah semacam. Dia cadangkan malam ini semua tidur di ruang tamu, biasalah dia cakap rumah tinggal/rumah baru macam inilah.

Tiada apa-apa berlaku selepas itu sampailah jam 11.30 malam, pintu dapur diketuk berkali-kali menyebabkan semua kaku tak bergerak dan bersuara. Sampai lima minit, barulah Man sahut:

Assalamualaikum, siapa tu?

Sampai tiga kali Man beri salam, tetapi tak ada sesiapa yang jawab. Aku dah risau semacam dah, fikir macam-macam masa itu. Rasa seronok masuk rumah baru dah tak ada, sampaikan mood raya aku pun dah hilang. Man pesan kat kami, kalau apa-apa hal malam ini jangan lari.

Lagilah membuatkan aku kecut perut rasa nak terkencing. Aku tengok Man dah lelap, aku dengan Wan pula tak boleh sebab asyik berfikir. Aduh, tak tahu pula aku sebenarnya penakut tahap ini, padahal kat kolej dulu selamba saja aku lepak seorang diri masa budak-budak lain balik kampung.

Maklumlah kampung aku jauh, kalau cuti seminggu-dua itu aku memang tak balik, duduk saja seorang-seorang kat hostel, rasa takut kini dah tutup keberanian aku.

Aku dengan Wan tak dapat tidur, berborak sambil pasang radio sayup-sayup saja, iyalah, tak dapat nak buat apa-apa lagi. Siap Wan cakap pada aku, tak payah tidur pun tak apa, esok siang kita tidur.

Aku iyakan sajalah. Tengah layan Isma Halil masa itu, dah jam 2.00 pagi rasanya. Tiba-tiba tombol suis kipas yang boleh pusing dari angka 0 ke 5 tu berpusing sendiri.

Mata aku pandang saja sambil aku baring di tilam. Pusing-pusing sekejap nombor 2, sekejap nombor 5 dan sekejap angka 0. Aku tak tahu nak buat apa dah, tetapi kaki aku sibuk sepak-sepak si Man yang sedap tidur sampaikan dia celik dan tengok sendiri kes itu. Yang aku tak tahan, Man jerit HOI!

Aduhai, barulah berhenti, tak fasal-fasal dia pun tak boleh nak tidur. Berjagalah kami masa itu sambil dengar radio sayup-sayup, sempat pula Wan telefon keluarga dia dan cerita.

Bapa dia janji nak datang esok tengok-tengokkan rumah itu. Legalah hati kami masa itu sebab harapnya ini adalah gangguan terakhir sebelum esok bapa Wan datang mengubat rumah ini.

Jam 3.30 pagi, tiba-tiba terdengar pula bunyi tapak kaki dari dalam bilik aku iaitu bilik utama. Rumah itu bilik utamanya di depan, tengah-tengah. Tempat dinding kami bersandar itulah bilik utama. Dengar bunyi tapak kaki macam orang tengah berlari-lari, Man yang tengah baring terus menyandar pada dinding, aku pula terus kaku tak tahu nak buat apa.

Dah berserah pada takdir saja masa itu. Kalau dah dia nak nampakkan diri pun, aku reda saja dah.

Bunyi tapak kaki bertambah kuat seperti ramai pula yang berlari-lari kat bilik tu. Wan kuatkan bunyi radio. Masa itu Isma Halil tengah pasang lagu Peronda Jaket Biru, tetapi tak fasal-fasal pula bunyi tapak kaki itu lebih kuat dan bertambah dekat dengan kami.

Rasa-rasanya dah dekat dengan pintu, dahlah pintu itu tak bertutup. Memang saja tak nak tutup dan lampu terang benderang di semua bilik.

Wan tak puas hati, dia kuatkan lagi lagu itu sedikit, dan aku dah siap berkelubung dengan selimut sambil baring.

Baru saja Wan kuatkan bunyi radio, terdengar suara budak-budak gelak, bukan seorang tapi ramai. Man yang tekejut terus berdiri dan azan. Wan aku tak tahu dah buat apa, tetapi aku dah tutup muka aku dengan selimut masa itu, dah tak tahu apa berlaku.

Masa Man azan tu aku boleh dengar suara kanak-kanak itu tambah dekat seolah-olah berada di sebelah aku, mungkin aku berkelubung, jadi bunyi jauh jadi dekat, tetapi entahlah. Man azan sampai lebih 15 kali, sampailah bunyi gelak dan tapak kaki itu tak ada. Sedar-sedar dah jam 5.30 pagi, tak tahulah dah berapa lama masa itu.

Habis Man melaungkan azan, aku pun perlahan-lahan buka selimut sebab ingatkan benda itu dah tak ada. Aku rasa macam jantung nak jatuh tengok bayang-bayang budak-budak umur dalam 6-7 tahun melayang-layang di atas kepala Man sambil tangan mereka memegang mancis api kayu yang menyala.

Aku memang kaku kali ini sebab tak tahu nak buat apa-apa dah. Aku dah jadi batu yang tak tahu apa dah terjadi masa itu, aku rasa macam terpaku lama sebelum Man sambung melaungkan azan sekali lagi. Aku sempat nampak Wan dengan mata terbeliak memandang ke atas tak begerak, sama macam yang aku alami tadi.

Aku pun tiba-tiba aku rasa mata dah gelap semacam, aku hanya dengar Man laungkan azan berkali-kali, aku semacam lemas. Berkali-kali aku gamit Man dan Wan tetapi mereka buat tak mengerti, mungkin perasaan aku. Aku cuba lawan dengan membaca ayat Kursi tetapi tak mahu juga.

Aku tak tahu apa terjadi pada aku masa itu, yang aku tahu aku lemas dan duniaku gelap. Aku tarik nafas panjang-panjang dan aku paksa mata aku celik dan sebut Allahuakbar banyak kali sampailah aku sedar.

Dan masa itu aku tengok Wan dah keras sejuk tetapi meronta-ronta dengan mata terjegil. Man pula berdiri tak buat apa-apa dah, azan pun dah tak keluar dari mulutnya. Aku sentap mereka berdua sampailah mereka terkejut, dan Wan sempat menjerit kata lehernya dicekik sambil dia terbatuk-batuk.

Man pula macam aku juga rasa lemas, tarik nafas panjang-panjang. Mungkin Wan rasa macam tercekik sebab dia ada asthma, jadi lemas tu menyebabkan dia rasa begitu. Man tak dapat tahan marah terus menjerit cabar benda itu, aku pula ganti azan kali ini.

Habis azan aku tengok di luar dah ada cahaya matahari, aku ajak mereka keluar sebab masa itu dah 6.30 pagi. Aku tak tahu apa terjadi, 30 minit kami lemas.

Sebenarnya ini baru permulaan, apa berlaku seterusnya akan kuceritakan di bahagian kedua. Selepas ayah Man bawa pawang pulihkan rumah ini, keadaan menjadi bertambah teruk.

Part 2

Kredit: Prince Brunei

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...