Tiada apa lagi yang mampu dikatakan oleh Mohd Hasnun Ramli, 29, apabila melihat anaknya kaku setelah terlibat dalam satu kemalangan membabitkan 16 kenderaan di KM406 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) dekat Tanjung Malim, yang menghala ke pusat bandar, semalam. Hanya memanggil nama anaknya:
Umaira, Umaira anak ayah.
Menurutnya, kejadian itu berlaku detika kenderaannya sedang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk menziarahi ahli keluarga yang meninggal dunia.
Masa tu jalan sesak disebabkan ada kemalangan di hadapan, kereta memang tidak bergerak.
Seingat saya, saya sedang mendengar alunan ayat-ayat suci al-Quran, manakala anak dan isteri saya sedang tidur.
Katanya, tiba-tiba dia merasakan sesuatu merempuh kenderaannya itu dari belakang.
Keadaan masa tu berlaku dengan pantas, badan saya terhentak ke stereng kereta, namun saya tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
Saya ingat setiap detik masa tu. Paling menghibakan saya lihat arwah isteri berlumuran dengan darah dan tidak lagi bernyawa, saya lihat anak saya, saya panggil namanya Umaira berulang kali, kali pertama dia menangis dan terus senyap, ALLAH sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu.
Mohd Hasnun berkata dia menganggap apa yang berlaku sebagai ketentuan Allah yang harus dia terima:
Dia ada berkata kepada saya yang dia teringin nak menunaikan solat tarawih bersama saya di Masjid Biru (masjid negeri Shah Alam).
Saya berjanji untuk membawanya, namun ini sudah tertulis yang dia akan pergi meninggalkan saya buat selama-lamanya.
Katanya, dia baru berpindah dan tinggal bersama isteri serta anaknya di Pulau Pinang selama setahun.
Sebelum ini saya tinggal di Kuala Lumpur, tapi memandangkan isteri bekerja di sini, jadi saya pindah ke sini.
Pada saya arwah seorang isteri yang amat sempurna, dia terbaik buat saya, namun ketentuan ALLAH melebihi segalanya saya redha dengan apa yang berlaku ini.
Jenazah isteri dan anak Hasnun, Nurul Syazeila Iryani Suhaimi, 28, dan anaknya Hanna Humaira Mohd Nasrun, 1 tahun 5 bulan selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Pekan Darat 11.30 malam tadi.
Terdahulu jenazah dua dua beranak itu tiba di rumah bapa mangsa di Kampung Permatang Tok Jaya pada 10.38 malam.
Turut mengiringi jenazah ialah suami mangsa, Mohd Nasrun Ramli, 29.
Jenazah kemudian disembahyangkan di Masjid Jamek Pekan Darat.
Kira-kira 500 saudara mara dan kenalan mangsa turut hadir bagi memberi penghormatan terakhir.-amazingnara.com
Sumber: Sinar Harian, Harian Metro