Leher seorang kanak-kanak perempuan dua tahun putus dikelar seorang lelaki dipercayai warga asing dalam satu kejadian di di tebing Sungai Klang berhampiran stesen komuter Jalan Hishamuddin malam tadi.
Kanak-kanak yang berusia antara dua hingga tiga tahun itu ditemui orang awam dengan kepala terpisah dan bersebelahan badannya kira-kira jam 9 malam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad, berkata mangsa dikatakan dibawa lari oleh suspek berkenaan dari sebuah pusat beli belah di Pudu Sentral ketika ditinggalkan bersama rakan ibunya.
Polis sedang mengesan suspek yang melarikan diri sebaik menyedari tindakannya mengelar leher mangsa dilihat orang awam dan usaha mengesan lelaki warga asing berusia 30-an itu sedang giat dijalankan.
Ibu bapa mangsa sudah dimaklumkan dan mereka sudah membuat pengecaman, namun belum disoal siasat berikutan keadaan ibunya yang hampir pengsan sebaik melihat keadaan anaknya.
Menurut Zainuddin, pemeriksaan di tempat kejadian menemui serpihan jubin berhampiran mayat namun belum dapat dipastikan sama ada ia digunakan untuk mengelar mangsa.
Polis tidak menolak kemungkinan suspek menggunakan senjata tajam untuk mengelar leher mangsa berdasarkan kesan kelar berkenaan.
Motif sebenar kejadian itu belum diketahui dan sedang disiasat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Laporan asal: Harian Metro