Impian rakyat Kelantan untuk memiliki sebuah lebuh raya akhirnya tercapai apabila projek fasa pertama 1B Pasir Hor ke Kadok telah dibuka kepada kenderaan umum pada selasa lalu.

Sumber: Info Kereta
Projek Central Spine Road (CSR) Kota Bharu-Kuala Krai atau lebih dikenali dengan Lebuh Raya Kobagi Pakej 1B yang melibatkan laluan sepanjang 73 kilometer boleh diibaratkan seperti sebuah impian yang akhirnya menjadi kenyataan bagi seluruh rakyat Kelantan.
Dikawal selia oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) serta Jabatan Kerja Raya (JKR), projek mega bernilai RM1.8 bilion itu terbahagi kepada tiga fasa utama iaitu Pakej 1, 2 serta 3 melibatkan jajaran sepanjang 73 kilometer.

Sumber:Lowyat
Jajaran ini memiliki kualiti gred R5 iaitu jalan dengan kelebaran minimum 3.5-meter dan ketinggian sehingga enam meter dari aras tanah. Mereka yang melalui lebuh raya ini akan menempuh beberapa perkampungan, sawah padi dan beberapa jambatan.
Di samping laluan empat lorong dua hala, Pakej 1B melibatkan pembinaan enam jambatan, dua persimpangan lampu isyarat, dua jejambat serta lima terowong kecil atau vehicular box culvert (VBC) bagi memudahkan pesawah berulang-alik di kawasan itu.
Walaupun jajaran yang dibuka iaitu dari Batu Empat Padang Enggang ke Perol sejauh 10 kilometer sahaja, namun ia menjadi satu sejarah penting kerana ia menjadi jalan pertama yang memenuhi spesifikasi sebagai lebuh raya di negeri ini.

Sumber: Jalan JKR
Seperti yang diketahui, pakej 1B ini merupakan satu daripada tiga yang diluluskan kerajaan sebelum ini. Dua lagi pakej yang sedang rancak dibina adalah dari Kadok ke Ketereh (2A) sejauh 6.4 kilometer melibatkan peruntukkan RM170 juta yang mana ia dijangka disiapkan November ini.
Sementara itu pakej 2B dari Ketereh ke Kok Lanas sejauh tujuh kilometer yang berharga RM200 juta juga sudah dimulakan pembinaan di peringkat awal. Pakej ini juga bersambung dengan Pembinaan Lebuhraya Central Spine Road (CSR) dengan jarak keseluruhan 390 km, adalah jalan alternatif bagi pengguna jalan raya dari Selatan dan Kuala Lumpur, selain melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 yang ingin ke Kelantan.
Sumber: Utusan Malaysia & Sinar Harian