Gara-gara memuat naik video tarian di laman Instagram miliknya, penyanyi Wani Kayrie telah ditegur oleh seorang individu yang memintanya untuk lebih banyak beribadah kepada Allah S.W.T dan bukannya berseronok dan tidak membuang masa dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah.
Difahamkan, individu tersebut telah meninggalkan komen tersebut di entri yang dimuat naik penyanyi berusia 20 tahun yang memaparkan dia sedang menari di aplikasi TikTok sebelum di muat naik di Instagram untuk tatapan peminat.
Namun, Wani tampil menjawab kritikan tersebut dengan mengatakan bahawa dia tidak perlu berkongsi hal berkaitan ibadah kerana perkara seperti itu merupakan urusan dia dan Allah S.W.T.
View this post on Instagram
“Ni Covid-19 ni lebih baik buat perkara yang dapat pahala..solat mengaji dan lain-lain ibadah..mungkin awak buat macam itu dipuji orang tapi di mata Allah? Saya tak kata saya baik tapi lebih elok awak habiskan masa pkp dengan amal ibadah.”- Netizen
Tidak melatah dengan kritikan itu, Wani dalam hantaran itu turut menitipkan pesanan agar masyarakat di luar sana tidak keluar rumah tanpa urusan yang penting untuk dilakukan.
Sebelum ini, penyanyi lagu Aku Suka Kamu ini pernah beberapa kali dikritik apabila memuat naik video yang dikatakan tidak menjaga sensitiviti dan sebagainya. Namun, Wani menjelaskan bahawa video hiburan yang dihasilkan hanyalah untuk suka-suka dan dia langsung tidak mempunyai niat lain.
Justeru, dia kini memilih untuk mengabaikan sebarang komen negatif yang diberikan netizen dan jika keterlaluan, Wani tidak teragak-agak untuk memadam dan menyekat akaun individu tersebut.