Ketua Pengarah JKM, Datuk Che Murad Sayang Ramjan, mendedahkan majoriti kanak-kanak yang dimasukkan ke institusi perlindungan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ketika ini berpunca daripada pengabaian ibu bapa dan penjaga mereka.
Katanya, seramai 999 kanak-kanak atau lebih 50 peratus daripada keseluruhan kes kemasukan, iaitu 1,763 adalah disebabkan itu.
Antara faktor pengabaian ibu bapa terhadap anak adalah disebabkan pasangan suami isteri terlampau tertekan dengan bebanan hidup selain ada juga yang terlibat jenayah dadah.
Ujarnya, sekiranya kanak-kanak ini semua tidak diselamatkan JKM, ia menimbulkan persoalan terhadap masa depan mereka yang diabaikan dalam aspek emosi dan fizikal.
Lebih malang, ada ibu bapa atau penjaga membuang terus anak mereka, membabitkan 92 kes yang berada di institusi seliaan JKM. Seramai 102 kanak-kanak yang berada di institusi tidak dilindungi ibu bapa atau penjaga, manakala 85 lagi disebabkan ibu bapa atau penjaga disabitkan kesalahan.
Selain itu, 180 kes kemasukan ke institusi di bawah seliaan JKM disebabkan penderaan sama ada mangsa dicederakan dan dianiayai.

Kredit: JKM
Dalam pada itu, Che Murad juga mengakui banyak kes penderaan membabitkan kanak-kanak di Malaysia tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Disebabkan itu, JKM dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil inisiatif untuk berkunjung ke sekolah untuk memberi kesedaran kepada kanak-kanak mengenai bantuan disediakan kepada mereka yang berdepan penderaan di rumah.
Kita memberi kesedaran kepada murid dan kanak-kanak bahawa hak mereka perlu dilindungi dan mempunyai akses di Talian Kasih, 1599. Ini kerana ada dalam kalangan kanak-kanak ini yang didera, tetapi tidak memberitahu sesiapa dan guru boleh memainkan peranan dengan menghubungi talian berkenaan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.