Lebih 10 mayat termasuk mayat bayi telah ditemui sepanjang pelaksanaan Projek Mitigasi Banjir Sungai Klang yang sedang dijalankan di bawah inisiatif Selangor Maritime Gateway (SMG), sekali gus membongkar sisi mengejutkan di sebalik usaha pemulihan sungai itu, memetik Sinar Harian.
Menurut Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), Syaiful Azmen Nordin, kes penemuan mayat bukanlah kes terpencil kerana berlaku hampir setiap bulan sejak projek pendalaman dan pelebaran sungai dimulakan pada 1 November 2022.

Setakat ini, kami telah menyerahkan lebih 10 mayat kepada pihak polis dan bomba untuk siasatan lanjut.
“Malah, kami juga pernah menemui tiga mayat dalam tempoh berturut-turut,” katanya kepada media selepas meninjau tapak Projek Mitigasi Banjir SMG Zon 8 di Kota Kemuning, Isnin lalu.
Jelas beliau, sebagai pemaju utama projek di bawah SMG, LLSB turut berdepan situasi mencabar apabila ada antara mayat yang ditemui merupakan bayi, menjadikan ia antara perkara paling tidak disangka sepanjang pelaksanaan projek.
Selain mayat, pasukan projek juga berdepan tahap pencemaran yang amat serius apabila menemukan pelbagai sisa buangan besar seperti peti sejuk, tayar lori, katil, tilam, sofa, bahkan motosikal di dasar sungai.
“Saya sendiri tidak faham bagaimana peti sejuk boleh berakhir dalam sungai,” ujarnya sambil menyatakan bahawa pencemaran yang wujud menyulitkan kerja-kerja pendalaman sungai.
Projek mitigasi ini merupakan sebahagian daripada pendekatan menyeluruh SMG yang bertujuan meningkatkan kapasiti aliran Sungai Klang sehingga 40 peratus, di samping memulihkan ekosistem serta menambah baik kualiti air kepada tahap Indeks Kualiti Air (IKA) Kelas III dan ke atas.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.