Seperti yang kita tahu, kejadian banjir bukanlah satu perkara yang asing lagi bagi kita di Malaysia. Ia boleh dikatakan antara kejadian yang sering sangat berlaku sehingga individu serta masyarakat yang tinggal di kawasan terlibat dengan banjir pastinya sudah bersedia apabila tiba musim banjir.
Tinggal di kawasan beriklim tropika, Malaysia menerima taburan hujan tahunan yang tinggi iaitu antara 1200mm di kawasan kering sehingga mampu mencecah 4000mm di kawasan seperti Bukit Larut, Perak. Namun, kita dapat lihat yang kejadian banjir ini semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.
Antara faktor yang menyebabkan kejadian banjir ini kerap berlaku adalah kerana pembangunan tidak terancang, sistem perparitan yang tidak diselenggara dengan baik, aktiviti pembalakan yang kian berleluasa dan juga perubahan iklim. Faktor-faktor ini sedikit sebanyak meningkatkan lagi kebarangkalian untuk sesuatu kawasan itu terlibat dengan banjir.
Lapan individu terperangkap selama enam jam di kediaman mereka akibat banjir sebelum diselamatkan
Menurut Harian Metro, lapan sekeluarga yang menghuni sebuah rumah di Kampung Telok Berembang, Lubok Cina terpaksa menunggu selama enam jam dan terperangkap dalam rumah mereka kerana banjir.
#masjidtanah “Syukur nasi dan lauk semalam masih ada dan kami cuma memanaskannya untuk mengalas perut ketika banjir.”https://t.co/67tqX4ZnWO
— Harian Metro (@hmetromy) October 21, 2021
Salah seorang individu dalam keluarga tersebut bernama Nina Shakina Abu Kassim yang berumur 27 tahun berkata, dia dan tujuh anggota keluarganya terpaksa memakan nasi dan lauk semalam selepas dapur di rumah mereka dinaiki air dan tidak boleh digunakan untuk memasak.
Tambahnya lagi, air naik mulai 4 pagi hari ini menyebabkan dia, ibu, bapa, dua adik dan dua anak serta seorang kakaknya berusia antara sembilan hingga 70 tahun tidak sempat keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.
Hujan lebat sejak 2 petang semalam menyebabkan Sungai Berembang berhampiran kediaman mereka itu melimpah mulai 2 pagi tadi sebelum naik hingga paras 1.5 meter dua jam kemudian.
“Saya terpaksa menghubungi abang, Mohd Ali Iskandar yang tinggal di tempat lain untuk mendapatkan bantuan bagi membawa kami keluar kerana kami takut melihat arus deras,” tambah Nina Shakina
Mohd Ali Iskandar berkata, dia mendapatkan bantuan penduduk kampung untuk menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi menyediakan bot penyelamat. Usaha membawa kesemua mereka keluar dari rumah berjaya disempurnakan pasukan penyelamat APM Masjid Tanah pada 10 pagi ini.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada pegawai dan anggota APM kerana bertindak segera melaksanakan kerja tersebut,” kata Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin ketika meninjau operasi menyelamat lapan sekeluarga itu
Tambah beliau lagi, usaha menyelamatkan mangsa banjir berjaya dilakukan walaupun anggota APM terpaksa meredah arus deras dan beliau ucapkan terima kasih kepada penduduk kampung yang banyak membantu ketika operasi menyelamat dijalankan.
Selain itu, beliau turut menyampaikan sumbangan nasi bungkus dan minuman kepada mangsa banjir dan petugas APM serta penduduk kampung yang berganding bahu menyelamatkan mangsa tersebut.
Pendapat anda? Kongsi bersama kami di Facebook dan Telegram AmazingNara