Bakal bernikah dengan kekasih Daud McKienzie tanggal 15 Mei ini, Lana Nodin nampaknya sudah tidak sabar dan merasa teruja untuk bergelar isteri meskipun kini sedang sibuk menguruskan beberapa persiapan buat majlisnya itu nanti.
Saya terlalu sibuk menguruskan pelbagai perkara. Sekarang saya sedang menguruskan tempat dan dewan yang bakal menyaksikan perkahwinan kami nanti. Tiada apa yang saya fikirkan sekarang ini selain sibuk melakukan persiapan perkahwinan.
Lana sebelum ini mengakui sudah banyak kali kecundang dalam cinta. Malah, dia juga ada pengalaman menjalin hubungan cinta selama enam tahun yang kesudahannya tidak ke mana.
David bukan saja menunjukkan keikhlasan dalam hubungan kami, tetapi kesungguhan untuk memiliki saya sebagai suri hidupnya. Dia begitu serius dengan hubungan ini. Saya pun pada mulanya enggan memikirkan hubungan kami akan sejauh ini kerana faktor perbezaan agama. Pun begitu, David dengan rela memeluk Islam.
Mula bertentangan  mata dan berkenalan sekitar Oktober tahun lalu dalam satu acara di Singapura, Daud dapat merasakan keserasian di antara mereka berdua selepas berbicara melalui telefon selama berjam lamanya. Tidak mahu tunggu lama,  Daud yang nama asalnya David melamar Lana pada 3 Januari lalu.
Ibu bapa David juga tidak mempunyai sebarang tentangan apabila anak mereka membuat keputusan untuk memeluk agama Islam pada 5 Disember 2014. Malah sebelum ini beliau sudah mendapat pendedahan mengenai Islam ketika bertugas di Dubai sejak enam tahun yang lalu.
Apabila kita sudah berjumpa dengan orang yang benar-benar membuka pintu hati kita dan membuat kita rasa yakin untuk hidup bersamanya tentu sekali kita akan merasa tidak sabar dan teruja untuk melangkah ke alam perkahwinan. Tahniah sekali lagi buat Lana Nodin dan Daud McKienzie.