Tular di media sosial mengenai sebuah gambar yang diambil menggunakan drone, yang menunjukkan keadaan lebuhraya Karak di Pahang dari pandangan atas. Melalui gambar yang dikongsikan, jelas menunjukkan lebuhraya Karak berbentuk bengkang-bengkok dan bukanlah lurus seperti kebanyakkan lebuhraya yang lain.
Dek kerana perkongsian itu, ramai netizen mempersoalkan mengenai pembinaan lebuhraya dengan bentuk jalan sebegini kerana secara logiknya lebuhraya akan lebih memudahkan sekiranya dibina lurus. Bagi menjawab persoalan ini, seorang jurutera yang dikenali sebagai Tuan Nazmi Ismail tampil merungkainya secara mendalam.
Secara geografi, Negeri Selangor dan Negeri Pahang dipisahkan oleh Banjaran Titiwangsa yang memanjang dari selatan Thailand sehingga ke Gunung Ledang di Johor.
Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dibina merentasi Banjaran Titiwangsa yang terdiri daripada deretan gunung-gunung bagi menghubungkan Gombak di Selangor dengan Karak di Pahang.
Dari sudut rekabentuk sesebuah lebuhraya pula biasanya melibatkan sesebuah Surveyor.
Siapakah Surveyor ni?
Surveyor mempunyai tugasan untuk membuat pengukuran, mengenalpasti sempadan pemilikan, menyediakan data-data berkaitan reka bentuk, contour, gravitation, lokasi, elevation atau dimensi tanah atau ciri-ciri tanah atau permukaan bumi tersebut.
Data yang dikumpulkan oleh surveyor ini digunakan untuk kerja kejuruteraan, membuat peta, pengorekan, penilaian tanah, pembinaan dan macam-macam lagi.
Biasanya surveyor membuat rekabentuk lebuhraya atau jalan menggunakan perisian AutoCAD, Civil 3D, GIS, dan lain-lain bergantung pada keperluan projek dan pihak berkuasa tempatan.
Ada beberapa sebab mengapa lebuhraya Karak dan sesetengah lebuhraya lain dibina dalam keadaan bengkang-bengkok.
- Kos yang perlu dikeluarkan.
Perkara yang paling penting bagi memulakan sesuatu projek adalah kos. Kos merangkumi aspek seperti bahan, mesin, jentera, tenaga kerja, keselamatan, kepakaran dan macam-macam lagi.
Sekiranya lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dibina lurus dari Gombak menembusi Banjaran Titiwangsa hingga ke Karak, kos untuk memotong, menarah, menambak dan menebuk bukit akan memerlukan kos yang lebih banyak dan tinggi.
Untuk membina terowong bukanlah sesuatu yang murah dan senang. Banyak faktor berkaitan struktur tanah perlu diambil kira, kos jentera, kos kepakaran dan masa yang diperlukan.
Sekiranya lebuhraya itu terus dibina mendaki bukit dengan keadaan yang sangat curam, ia akan memberi masalah pada kenderaan terutama kenderaan berat seperti lori untuk mendaki.
Ini akan mengakibatkan keadaan trafik yang lebih sesak dan tidak lancar akibat banyak kenderaan terpaksa mendaki bukit curam tersebut secara perlahan.
Maka penyelesaian kepada faktor seperti kos, tenaga, keselamatan, ekosistem, kelancaran trafik dalam pembinaan lebuhraya yang melalui kawasan pergunungan adalah membina lebuhraya secara bengkang-bengkok melalui lereng bukit.
Laluan bengkang-bengkok yang melalui lereng bukit adalah penyelesaian terbaik untuk semua yang melalui kawasan itu.
Ia juga membantu bagi penjimatan minyak kerana laluan lebuhraya yang lebih landai dengan darjah kecuraman yang rendah membolehkan enjin kereta bekerja pada tahap minima. Jadi ia akan menjimatkan penggunaan minyak dan memanjangkan jangka hayat enjin.
Jom ‘Like’ dan ‘Follow’ Facebook & Twitter Amazingnara untuk mendapatkan berita sensasi dan terkini di seluruh dunia.