Jika sebelum ini, pelakon Beto Kusyairy mendapat pujian ramai selepas tular tentang pendedahan di sebalik tabir ketika salah satu babak dalam filem Mat Kilau, kali ini Ummi Nazeera pula menjadi bualan netizen.
Malah ini bukanlah kali pertama nama aktres berusia 32 tahun itu menerima tepukan dan membuat ramai penonton kagum dengan bakat lakonannya.
Selepas fenomena watak Hayfa, sekali lagi Ummi Nazeera pukau penonton dengan lakonannya menerusi drama Rindu Kasih di samping Izzue Islam sebagai watak hero.
Tular baru-baru ini rakaman ketika di sebalik tabir penggambaran babak Ummi yang membawa watak Salina sedang mandikan jenazah ibunya.
Menerusi babak itu, Salina diberikan peluang untuk berbuat sedemikian di kampung meskipun tangannya tetap digari dan diiringi anggota polis.
Namun ternyata ketika penggambaran, tiada sesiapa pun di depan semua pelakon yang menjayakan babak itu tetapi Ummi berjaya menghayati wataknya sehingga menangis teresak-esak.
Selepas pendedahan itu tular di TikTok, ramai netizen memuji kehebatan Ummi bermain dengan emosi hingga mudah mengalirkan air mata meskipun tiada apa-apa di hadapannya.
Sebelum ini, babak Ummi Nazeera menangis dalam salah satu babak drama itu tular di media sosial dan telah mendapat pujian ramai netizen.
Rata-ratanya berpendapat Ummi merupakan salah seorang aktres wanita paling berbakat dan layak untuk mendapat anugerah pelakon terbaik di masa akan datang.