Baru-baru ini, tular di media sosial satu video memaparkan tindakan dua orang jurufoto berdiri di atas bumbung sebuah kereta sewa ketika menghadiri Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) yang berlangsung dari 20 hingga 24 Mei 2025.
Video tersebut dimuat naik oleh akaun TikTok @kereta_sewa_lgk yang juga merupakan pemilik kereta jenis Toyota Vios yang dipercayai disewa oleh individu terlibat.
Apa yang mencuri perhatian ialah kedua-dua jurufoto tersebut dilihat berkaki ayam sambil berdiri di atas bumbung kenderaan untuk mengambil gambar, tindakan yang jelas tidak bertanggungjawab dan boleh merosakkan kereta.
Pemilik kenderaan itu menegur perbuatan tersebut secara terbuka:
Mohon tolong jaga kereta sewa ini elok-elok macam kereta sendiri ya. Jangan panjat atau berdiri atas kereta, sayang cat dan bumbung itu. Gunakan dengan cermat, kalau ada apa-apa masalah boleh terus hubungi kami.
Dalam masa sama, beliau turut berterima kasih kepada pelanggan kerana menyewa keretanya dan mendoakan perjalanan mereka selamat ke destinasi.
Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen menyelar tindakan biadab tersebut. Rata-rata mengecam sikap jurufoto yang dianggap tidak menjaga adab serta amanah dalam menggunakan barang orang lain.
Ada juga warganet yang tampil memberikan cadangan alternatif untuk mengambil gambar dari sudut tinggi tanpa merosakkan kenderaan seperti menggunakan kren, tangga lipat, monopod, atau dron.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.