Kereta dah menjadi satu keperluan untuk hampir semua orang di Malaysia ini. Tidak kiralah kereta lama atau baru, tempatan atau luar negara, asalkan boleh membawa kita ke mana sahaja.
Anda mesti sayang dengan kereta anda kan? Begitu juga dengan seorang lelaki ini, pemilik akaun facebook Bosco Fong. Dia melalui satu realiti yang menyakitkan kerana sebuah ‘Proton Wira’ yang dimilikinya, seorang gadis dikatakan tidak sudi untuk menaiki kenderaan tersebut.
Dia yang kesal dan sedih dengan situasi itu memuat naik satu status luahan hatinya di facebook baru-baru ini. Dan status itu menjadi tular dengan ribuan share dan like dari netizen.
Bosco Fong menjemput seorang kawan wanita untuk pulang dari kerja tetapi apabila sampai di tempat tersebut, rakannya itu berpura-pura tidak mengenalinya walaupun dia telah menekan hon beberapa kali.
“Baru tadi, saya pandu kereta Proton Wira untuk menjemput kawan perempuan dari tempat kerjanya. Apabila saya tiba di lokasi, saya menekan hon beberapa kali tetapi dia tidak masuk ke dalam kereta dan seakan tidak mengenali saya.”
Yang lebih menyedihkan, rakannya itu bukan sahaja tidak mahu menaiki Proton Wira miliknya tetapi memesan Grab dan menghantar mesej kepada Bosco.
“Lain kali jika memandu kereta Proton Wira, jangan datang menjemput saya.”
Dia juga menulis di status tersebut yang kereta wira miliknya telah dipandunya berulang alik dari Johor Bahru ke Pulau Pinang. Malahan, kereta itu juga mampu pergi ke Genting Highlands tanpa sebarang masalah.
“Penghawa dinginnya juga masih sejuk, mengapa dia tidak mahu masuk ke dalam kereta saya.”
“Awak fikir Proton Wira saya ini benar-benar memalukan ke untuk dinaiki?”
Malangnya, soalan itu tidak dijawab oleh rakannya itu.
Jadi, jangan menilai manusia dari luaran sahaja. Kereta Wira merupakan kereta yang paling banyak dicuri di Malaysia tau. Mesti ada yang special tentang kereta ini.
Sumber: Bosco Fong dan World Of Buzz