Lagu bagi drama 7 Hari Mencintaiku, nyanyian Dayang Nurfaizah ciptaan  Iman Imran dan Natasyah iaitu Lelaki Teragung telah berjaya merangkul gelaran juara bagi Anugerah Juara Lagu 31 (AJL 31) yang berlangsung semalam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Mereka berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM 50,000, trofi, baucer produk CJ Wow Shop bernilai RM10,000 dan telefon pintar Samsung Galaxy A.
Dayang juga tampil sebagai pemenang Vokal Terbaik menerusi lagu yang sama dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM12,000.
Naib juara pula jatuh kepada pasangan duet Hafiz dan Misha Omar yang menyanyikan lagu Terimaku Seadanya hasil ciptaan sepenuhnya oleh Ajai. Mereka membawa pulang wang tunai RM35,000 beserta trofi.
Projector Band pula mendapat tempat ketiga menerusi lagu popular mereka, Sudah Ku Tahu ciptaan sepenuhnya oleh Razif. Â Selain trofi, mereka turut menerima wang tunai berjumlah RM20,000.
Persembahan Terbaik pula milik kumpulan Khalifah menerusi lagu Hang Pi Mana dan mereka berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000, telefon pintar Samsung Galaxy A berserta trofi.
Antara lagu lain yang turut bertanding ialah, Terakhir (Sufian Suhaimi), Selamanya Cinta (Shila Amzah & Alif Satar), Ku Rela Dibenci (Aiman Tino), Di Amaran Mama(Hazama) dan Obses (Akim & The Majistret), Setia (Elizabeth Tan feat Faizal Tahir), Kalah Dalam Menang (Syamsul Yusof feat Mawi), Hang Pi Mana (Khalifah) dan Anugerah Terindah (Black).
Kesemua persembahan pada malam itu diadili seramai 10 barisan juri profesional dan diketuai oleh komposer terkenal Azmeer.