Lagu Jangan Menangis nyanyian Aizat Amdan cukup popular sekarang dan berjaya bertanding di peringkat separuh akhir Muzik Muzik 32 Ahad lalu. Walaubagaimanapun, ada pihak yang mendakwa lagu tersebut yang dicipta oleh Aizat, Mike Chan dan Faizal Tahir adalah karya ciplak. Ia adalah nyanyian asal penyanyi dari China, Hua Chen Yu berjudul King & Beggar yang diterbitkan pada tahun 2015.
Bagi menjawab segala persoalan, Penerbit Eksekutif Muzik Muzik 32, Nurul Huda Khalid ketika dihubungi berkata, lagu Jangan Menangis layak bertanding kerana Aizat, Mike Chan dan Faizal adalah pencipta asal lagu yang dinyanyikan penyanyi China itu.
Nurhul Huda juga berkata, lagu tersebut juga tidak pernah dihantar untuk dicalonkan dalam Muzik-Muzik sebelum ini.
Lagu ini tak ada masalah dipertandingkan kerana mereka pencipta asal. Lagi pun lagu ini masih mengekalkan melodi sama cuma lirik saja diterjemahkan dalam Bahasa Malaysia. Paling penting, lagu ini bukan lagu saduran atau ciplak. Seperkara lagi, lagu ini tidak pernah dipertandingkan dalam Muzik Muzik. Jadi, tidak menjadi masalah untuk dicalonkan. Mereka sebagai pencipta ada hak ke atas lagu ini.
Sekiranya lagu ini ke AJL sekali pun, ia bukan satu masalah. Sama seperti lagu Anak Kampung nyanyian One Nation Emcee dan Jimmy Palikat. Seperti semua maklum, versi asal lagu ini dalam Bahasa Kadazan. Jadi apabila ia disampaikan dalam versi Bahasa Malaysia, pihak penerbitan okey. Macam saya katakan tadi, selagi sesebuah lagu tidak pernah dipertandingkan dan ia masih lagu asli pencipta berkenaan, tak ada masalah.
Biasalah kalau ada lagu yang dinyayikan dalam versi lain ataupun diberikan nafas baru. Malah, karya artis tempatan juga banyak diciplak ataupun melodinya digunakan oleh artis luar sehingga mereka juga popular.