Lafaz talak yang dibuat oleh Khairul Aiman Abdul Kudus, 22, terhadap isterinya, Siti Suriani Wahiddin, 26, yang juga pempengaruh Siti Jamumall dalam siaran langsung media sosial awal pagi tadi, dikategorikan sebagai lafaz sorih atau jelas.
Menerusi video yang dikongsikan oleh pendakwah bebas, Ustaz Izmir Fareez di TikTok, beliau menjelaskan bahawa lafaz talak perlu diteliti sama ada menggunakan lafaz sorih (jelas) atau kinayah (kiasan).
Lafaz sorih bermaksud jelas, seperti menggunakan perkataan talak atau cerai, maka talak itu jatuh kepada isteri. Jika menggunakan lafaz kinayah seperti ‘kau keluar dari rumah ni, kau balik rumah mak kau, aku tak nak tengok muka engkau lagi’, ia bergantung kepada niat suami.
Menurut Ustaz Izmir, dalam kes ini, Khairul Aiman menggunakan lafaz jelas dengan menyebut “talak dua”, yang membawa maksud bahawa talak itu telah jatuh.
Lafaz ‘talak dua’ bermakna talak yang pertama ditambah dengan talak kedua, menjadikan jumlahnya tiga. Maknanya, ketiga-tiga talak sudah dilafazkan.
Khairul Aiman dan Siti Jamumall bercerai buat kali kedua secara langsung di TikTok melalui akaun @Sitijamumall. Dalam video tular itu, Khairul Aiman melafazkan cerai tiga kali sebelum siaran dihentikan secara mengejut.
“Siti Suriani binti Wahiddin, aku ceraikan kau dengan talak dua. ‘See you in court’ (jumpa di mahkamah),” katanya dalam video tersebut.
Persoalan timbul sama ada talak yang dilafazkan jatuh pada talak satu atau dua, kerana mereka pernah bercerai dan rujuk. Ustaz Izmir menjelaskan, jika suami menggunakan perkataan “yang kedua”, maka talak tersebut jatuh kepada talak dua.
Tapi kalau dia gunakan (lafaz) ‘talak dua’, jadi satu (talak sebelum ini) tambah talak dua (talak baru dilafazkan), jawapannya tiga. Maknanya dia telah menggunakan ketiga-tiga talak tadi. Itulah jawapan kena ikut matematik juga.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.