January 20th, 2016

Nampaknya filem  Mat Moto karya Pekin Ibrahim berjaya membuktikan ia bukan sekadar filem  tentang mat rempit atau kaki motor yang biasa-biasa dan mencipta sejarah apabila mencatat  kutipan lebih daripada RM 3 juta selepas empat hari ditayangkan di pawagam.

Alhamdulillah saya terkejut dan tidak menyangka kutipan melebihi daripada jangkaan. Sangka saya pada hari pertama mungkin kutipan sekitar RM500,000.

Apabila dimaklumkan oleh penerbit, Datuk Yusof Haslam kutipan melebihi RM1 juta saya memang terkejut dan bersyukur atas sambutan ini.

Mensasarkan kutipan RM 5 juta buat filem sulungnya yang diarahkan bersama pengarah muda, Syafiq Yusof, Pekin yang turut menjadi bintang utama filem tersebut masih khuatir dengan beberapa kritikan oleh penonton di media sosial.

Saya tidak meminta lebih, cukuplah RM5 juta untuk filem ini dan jika sasaran itu berjaya bolehlah saya memberi fokus kepada filem Mat Moto 2 pula. Pun begitu, saya juga turut bimbang melihat maklum balas penonton di laman sosial. Ada yang suka ada juga yang mengkritik kerana melihat jalan cerita tidak seperti yang mereka bayangkan.

Lazimnya kisah mat moto lebih memaparkan kehidupan mereka berlumba dan penuh aksi, tetapi tidak untuk filem ini. Bagaimanapun, saya positif dan berharap semua orang dapat menerima jalan cerita ini dengan hati yang terbuka.

Selain Pekin, filem Mat Moto turut dibintangi Datuk Rosyam Nor, Shaheizy Sam, Syamsul Yusof, Zul Huzaimy, Faizal Hussein, Falisha Crossley dan Cat Farish.

Satu permulaan yang agak baik buat filem sulung Pekin Ibrahim, apakah mungkin filem seperti ini mampu mencapai kutipan box office?  Siapa yang dah tonton filem Mat Moto, apa pendapat anda?

Sumber Berita: Harian Metro


Comments are closed.

Loading...