Baru-baru ini, seorang pesara tentera laut yang bernama Sumadi Ibrahim telah menarik perhatian ramai selepas dirinya menjana pendapatan lebih kurang RM8000 sebulan dengan hanya mencari bola golf yang tenggelam dalam tasik di sekitar Kuala Lumpur serta Selangor.
Kutip antara 500 hingga 600 biji bola golf seminggu
Difahamkan dari laporan Malay Mail, Sumadi sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Tentera Laut Diraja Malaysia selama 22 tahun dan setelah bersara, dia menggunakan kepakarannya untuk menyelam serta memungut bola golf yang tenggelam di dalam tasik.
Selepas memungut bola-bola tersebut, lelaki berusia 51 tahun itu akan menjual semula bola-bola berkenaan kepada pemain golf yang kehilangan bola itu untuk bermain.
Sumadi menceritakan dirinya boleh mengumpul antara 500 hingga 600 bola golf dan akan mencari selama tiga kali seminggu pada waktu malam dengan hanya bersumberkan cahaya bulan.
Cabaran sewaktu menyelam cari bola golf
Biarpun ‘tugasnya’ itu tidak susah jika hendak dibandingkan dengan kerja sebelum ini, Sumadi berkata dia tetap mengalami kesukaran kerana air tasik lazimnya gelap, jadi kadang-kala dia akan terpijak serpihan cengkerang siput atau duri sawit.
Kerana bimbang jika berlaku kekejangan pada kaki, Sumadi mengumpah seorang pembantu untuk berjaga-jaga dan bantunya jika ada berlaku kecederaan ketika menyelam mencari biji bola golf.