Kesan wabak COVID-19 dikira lebih serius berbanding apa yang dijangka semasa wabak ini mula melanda. Tiada siapa boleh bayangkan wabak ini bukan sahaja mampu meragut nyawa manusia tetapi juga menyekat pertumbuhan ekonomi negara. Negara yang terjejas teruk mungkin berhadapan dengan kehilangan pekerja daripada pelbagai sektor dalam jumlah yang besar.
Ini kerana kebanyakan syarikat tidak mampu untuk membayar gaji pekerja kerana operasi syarikat yang tidak berjalan seperti biasa ketika ini. Terdapat juga pekerja yang menerima potongan gaji untuk memastikan majikan mampu bertahan sehingga wabak COVID-19 pulih sepenuhnya.
Laporan terbaru yang diterima, iflix selaku syarikat penstriman yang baru, kini dalam pertimbangan untuk melepaskan sejumlah pekerjanya untuk mengurangkan kos operasi syarikat. Pekerja yang berada di bawah iflix kini adalah seramai 50 hingga 65 orang. Marc Bernett, CEO iflix berkata keputusan ini terpaksa diambil untuk memberi jaminan kepada syarikat agar mampu terus bertahan dalam waktu sekarang.
Namun, Marc Bernett masih berfikiran optimis untuk menyasarkan keuntungan yang bakal diperolehi menjelang tahun 2021. Krisis kewangan yang melanda iflix ketika ini tidak menghalang syarikat ini untuk terus berjuang menaikkan jenama ini ke tahap yang lebih tinggi. Penstriman ini juga turut ditawarkan ke 12 negara luar yang lain selain Malaysia.
Ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan, iflix telah memberikan langganan percuma kepada pengguna untuk tempoh sebulan. Ini juga sebagai salah satu usaha iflix untuk mempromosikan saluran penstriman kepada rakyat Malaysia.
Wabak COVID-19 tidak hanya memberi kesan kepada syarikat yang baru bertapak, syarikat yang sudah kukuh berdiri juga mampu goyah sekiranya keadaan sekarang berterusan. Anggaran awal yang dilakukan, hampir 1 juta pekerja di Malaysia boleh berhadapan dengan kehilangan pekerjaan angkara wabak COVID-19.