Kumpulan Facebook LHDN Cari Siapa Hari Ini? telah diwujudkan pada 21 Julai tahun ini bertujuan untuk menentang sikap tidak berhati perut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menuntut cukai buat mereka yang terkesan sejak pandemik Covid-19 melanda negara.
“Di saat negara sedang menghadapi pandemik, rakyat makin susah dan makin miskin, LHDN dikerah untuk meragut kehidupan rakyat. Group ini adalah support group buat mereka yang diganggu LHDN,” tulis kumpulan itu.
Layanan yang tidak berhati perut, pilih kasih, dianggap seperti penjenayah dan tiada rasa simpati antara perkara-perkara yang diluahkan oleh rakyat Malaysia yang juga pembayar cukai sepanjang mereka berhadapan dengan LHDN.
Dalam pada itu, salah seorang admin kumpulan itu iaitu Aliff Ahmad telah dipanggil oleh LHDN untuk mengadakan perbincangan secara berhadapan dan membincangkan perkara yang dibangkitkan.
Pelawaan itu diterima oleh Aliff yang hadir bersama auditor, peguam dan seorang rakan. Tidak datang hanya tangan kosong, beliau juga membawa sekali 18 tuntutan yang perlu dipenuhi oleh LHDN.
Aliff telah menulis memorandum dengan 18 tuntutan terhadap LHDN. Menurutnya, tindakannya itu bagi memastikan pihak berkenaan lebih cakna tentang tuntutan rakyat marhaen dan percaya tiada rakyat marhaen yang akan membantah.
Tambahnya lagi, beliau telah bacakan 18 tuntutan dan telah syarah setiap tuntutan bagi mewakili kumpulan Facebook berkenaan. Aliff masih menunggu komitmen balas daripada memorandum yang dibentangkan semalam dan berharap LHDN dapat memberi beberapa komitmen dalam tuntutan tersebut.