Kuih ‘Barang Dalam Kain’: Mufti Kelantan Beri Teguran

Trending

Kuih ‘Barang Dalam Kain’: Mufti Kelantan Beri Teguran

Malaysia memang terkenal dengan banyak pilihan makanan yang lazat, menarik dan menyelerakan. Bukan itu sahaja, nama-nama makanan di negara kita juga pelik dan unik terutamanya kuih-kuih tradisional.

Betapa kreatifnya orang dulu-dulu dapatkan idea untuk menamakan juadah dan kuih muih tradisional hanya dengan melihat rupa serta bentuk makanan itu sahaja.

Advertisement

Salah satu kuih dengan nama yang juga unik ialah kuih putu halba atau orang tempatan menggelarkannya ‘barang dalam kain’. Kuih ini sangat popular di negeri Kelantan menjadi tular di media sosial sejak beberapa minggu lepas.

Tapi nama jolokan yang diberikan untuk kuih itu mendapat perhatian mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad dan menegur sikap segelintir peniaga makanan di negeri ini yang memberi jolokan ‘barang dalam kain’ kepada kuih putu halba semata-mata untuk melariskan jualan.

Sumber: Berita Harian

Beliau menasihatkan peniaga makanan negeri ini supaya lebih berhati-hati dalam memberikan nama jolokan kepada produk semata-mata untuk meraih perhatian pelanggan.

Walaupun ia tidak bercanggah dengan hukum agama tetapi ia boleh mengundang persepsi negatif dan tidak menggambarkan akhlak orang Islam yang sepatutnya. Imaginasi dan kefahaman manusia berbeza-beza, jadi mungkin boleh menimbulkan salah faham untuk orang yang luar dari Kelantan.

“Memang dari segi hukum ia tidaklah sampai kepada haram tetapi penggunaan nama jolokan dengan perkataan yang kurang manis itu menampakkan kita tidak berakhlak.”

Pemilihan nama yang baik adalah dituntut dalam Islam seperti mana pemilihan nama kepada seseorang individu. Dengan nama jolokan yang sebegini boleh mengundang penterjemahan atau kefahaman yang sebaliknya.
“Banyak lagi nama jolokan yang baik boleh digunakan untuk kuih tersebut. Pemilihan nama kuih dengan jolokan ‘barang dalam kain’ itu berkemungkinan akan diterjemah dengan maksud yang tidak baik,” katanya.

Peniaga perlu mengambil berat berhubung perkara tersebut kerana dibimbangi ia akan menjadi ikutan kepada orang lain selain boleh memberi gambaran tidak baik kepada peniaga di negeri ini.

Kuih putu halba sudah lama terkenal di Kelantan, sinonim sebagai makanan pilihan di musim tengkujuh dan biasanya dijual di gerai-gerai tepi jalan. Masuk saja musim banjir atau tengkujuh, penjual putu halba tumbuh macam cendawan selepas hujan. Putu halba menggunakan bahan ubi kayu, gula melaka dan halba, serta kelapa muda parut sebagai pencicah.

Tapi kenapa kuih ini hanya muncul pada musim tengkujuh?

Jawapannya ialah pada bekalan ubi. Lazimnya pada musim tengkujuh, ramai yang mula menuai ubi kayu bagi mengelakkannya rosak kerana tempat tanaman digenangi air.

Justeru, keadaan itu menyebabkan lambakan ubi kayu. Lama-kelamaan, timbul idea untuk mempelbagaikan kegunaan ubi kayu termasuk membuat kuih putu halba.

Bagaimanapun kuih tersebut mendapat lebih perhatian selepas diberi jolokan kuih barang dalam kain kerana untuk memasak putu halba ia dimasukkan di dalam kain dan diwapkan sehingga masak.

Tapi kalau pandang dari sudut positif, ada baiknya kuih ni tular di media sosial, sekurang-kurangnya generasi sekarang tahu tentang kewujudan kuih putu halba ini dan orang luar juga boleh mengenali kuih tradisional dari Kelantan ini.

Sumber: Bernama dan Kosmo

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...