
Senapang patah dan novel yang dirampas telah ditunjukkan dalam satu sidang akhbar.
Angkara taksub menghayati sebuah jalan cerita novel yang didakwa berkait kisah hidupnya, seorang lelaki bertindak menembak suami kepada kekasihnya menggunakan senapang patah buatan sendiri di sebuah tempat mencuci kereta di FELDA Keratong Dua.
24 Oktober 2017
Dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam, suspek merupakan seorang pembantu kedai makan bertindak menembak mangsa yang berusia 32 tahun yang juga pekerja kedai cuci kereta berkenaan dari jarak lima meter ekoran ingin membuktikan cintanya kepada isteri mangsa.
Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Azli Mohd Noor berkata, mangsa dan isteri, kedua-duanya warga Indonesia dipercayai berkahwin sejak dua tahun lalu namun kini sedang mengalami keretakan rumah tangga.
Difahamkan lagi, suspek lelaki warga tempatan bekerja di kedai yang sama dengan isteri mangsa berusia 32 tahun dan menjalinkan hubungan sulit. Suspek dipercayai bertemu dengan mangsa untuk berbincang dengan mangsa supaya tidak membawa pulang isterinya ke Aceh, Indonesia.
25 Oktober 2017
Mangsa yang dikenali dengan nama Zubir, mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan kepala meninggal dunia selepas 12 jam mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.
27 Oktober 2017
Suspek berusia 28 tahun telah ditahan ketika berehat di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tanjung Malim ketika cuba melarikan diri ke kampung halamannya di Bedong, Kedah kira-kira pukul 12.30 tengah malam.
Susulan tangkapan berkenaan, Polis turut menahan tiga lagi suspek iaitu isteri mangsa serta majikannya, seorang wanita berusia 48 tahun dan seorang lelaki berusia 32 tahun yang juga rakan suspek utama bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, pihak polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan seperti tiga peluru dan satu kelongsong, skru pemutar bagi memasang dan membuka senapang berkenaan.
Polis juga berjaya menemui senjata yang digunakan dalam kejadian berkenaan disorok di Ladang Sungai Guan, Kota Bahagia.
Suspek yang menaiki motosikal berjaya diberkas oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin dan dibantu pasukan dari Unit Khas (D9).
Hasil siasatan turut mendapati suspek memberitahu tindakan yang dilakukannya adalah ekoran terpengaruh dengan sebuah novel cinta.
30 Oktober 2017
Suspek ditahan reman sehingga 3 November depan manakala selebihnya sehingga 2 November. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati jika disabit kesalahan.
Sumber : hmetro