Tindakan penyanyi Saleem Iklim yang sebelum ini melarang anaknya, Syafiq Farhain untuk menyanyikan lagu-lagunya kerana mendakwa mengganggu ‘periuk nasi’nya mendapat perhatian ramai. Bukan itu sahaja, Saleem juga tidak mahu anaknya itu mengaitkan nama beliau dalam mana-mana temuramah.
Terbaru, Syafiq yang dahulunya bertugas sebagai ahli bomba dan kini bergelar penyanyi serta merupakan salah seorang peserta program Big Stage, memberitahu beliau sudah berbaik dengan bapanya.
Syafiq juga sempat untuk melawat Saleem yang kini berada dalam keadaan koma di hospital selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya beberapa hari lalu selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar sebuah kereta dari arah belakang. Saleem cedera parah sehingga patah 12 tulang rusuk dan salah satu tulang itu tertusuk pada bahagian paru-parunya.
Pada saya, yang lepas itu biarlah lepas. Ramai pihak tak tahu perkara sebenarnya. Ada juga yang tak tahu, tapi buat-buat tahu. Jadi, terpulanglah pada sesiapa untuk buat andaian.
Tapi apa yang sebenarnya terjadi itu memang antara kami sahaja yang tahu. Alhamdulillah hubungan kami sekarang tiada masalah dan tiada apa-apa saya nak komen.
Dalam pada itu, Syafiq memohon kerjasama dan pertimbangan semua pihak agar berhenti menyebarkan khabar angin kononnya bapa beliau sudah meninggal dunia.