Susulan kes aktif COVID-19 yang dikhabarkan semakin hari semakin meningkat, perkara itu secara tidak langsung mewujudkan rasa bimbang terhadap pelbagai pihak.
Terbaru, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memutuskan untuk menangguhkan pendaftaran secara fizikal pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi kemasukan Oktober 2020.
Menurut KPT, pihaknya mencadangkan semua IPT untuk menangguhkan dahulu pendaftaran secara fizikal bagi pelajar-pelajar baharu dan lama ke kampus.
Hal ini demikian kerana, pelajar boleh mendaftar secara atas talian begitu juga dengan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) sehingga pengumumam baru dibuat.
Ujarnya lagi, ia dilakukan demi menjamin kesejahteraan dan keselamatan para pelajar yang menjadi keutamaan KPT.
Malah tidak ketinggalan mengingatkan pelajar yang sudah berada di kampus dan sedang mengikuti kelas pembelajaran, digalakkan untuk kekal berada di situ tanpa perlu pulang semula ke rumah.
Selain itu, pihak KPT telah mengambil langkah proaktif untuk berunding semula dengan syarikat-syarikat penerbangan bagi penjadualan semula tiket penerbangan pelajar untuk pulang ke kampus.
Lebih menarik, hasil rundingan mendapati, syarikat penerbangan bersetuju untuk menjadualkan semula tiket penerbangan pelajar sehingga 31 Disember 2020.