Tindakan seorang guru yang didakwa telah menyuruh pelajarnya ‘pulang ke China’ kerana kurang fasih berbahasa Melayu sedang disiasat Kementerian Pendidikan (KPM).
Memetik laporan Harian Metro, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, perkara berkenaan sedang diteliti KPM secara mendalam, di samping siasatan yang dijalankan oleh pihak polis.
Saya tegaskan bahawa KPM tidak kompromi dalam soal perkauman yang berlaku di sekolah, baik melibatkan guru mahupun pelajar atau mana-mana pegawai.
Dalam kes ini, siasatan sudah pun berlangsung dan tindakan akan kita lakukan berdasarkan kepada (hasil) siasatan itu.
Terdahulu, tular klip audio seorang guru yang didakwa mengaku memberitahu seorang pelajar sekolah menengah untuk pulang ke China kerana tidak memahami bahasa Melayu.
Menerusi klip tersebut, seorang lelaki mendakwa saudara kepada pelajar terbabit meminta guru berkenaan mengesahkan jika perkara itu benar dan guru tersebut mengakui berbuat demikian.