Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkenalkan subjek baharu, Pendidikan Karakter, bermula tahun hadapan sebagai usaha memperkukuh pembentukan sahsiah, akhlak dan keperibadian murid.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata pelaksanaan kurikulum baharu itu kini dalam fasa persiapan dan akan dimulakan terlebih dahulu di peringkat prasekolah sebelum diperluas ke peringkat lain secara berperingkat.
Menurutnya, Pendidikan Karakter akan menjadi komponen utama dalam Kurikulum Persekolahan 2027, selaras dengan fokus KPM untuk melahirkan generasi pelajar berakhlak tinggi, seimbang dan berjati diri kukuh.
Kurikulum baharu 2027 ini akan memperkenalkan mata pelajaran penting yang menjadi asas kepada semua, iaitu Pendidikan Karakter.
Ia akan menjadi teras utama dalam pelaksanaan kurikulum bermula tahun 2026,” katanya ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat, Khamis.
Fadhlina menjelaskan bahawa pendekatan pendidikan berasaskan karakter akan menjadi landasan utama dalam keseluruhan sistem pembelajaran baharu KPM — bukan sahaja dari aspek akademik, tetapi turut menekankan nilai moral dan empati.
Dalam masa sama, beliau turut memaklumkan bahawa KPM giat menangani isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar melalui saringan minda sihat dua kali setahun di sekolah.
Jika terdapat tanda-tanda tekanan atau kemurungan, murid akan dirujuk untuk mendapatkan intervensi dan sokongan daripada pihak berautoriti termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Fadhlina menambah, intervensi melibatkan pakar psikiatri sudah dijalankan, namun pembaharuan baharu akan memperkukuh usaha tersebut menerusi latihan dan program khusus kepada guru serta kaunselor sekolah.
Langkah memperkenalkan Pendidikan Karakter ini dijangka menjadi antara transformasi utama dalam sistem pendidikan negara, dengan matlamat melahirkan murid bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga berbudi pekerti dan berperanan sebagai insan seimbang dalam masyarakat.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.