Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid di semua institusi pendidikan di bawah kelolaannya.
Memetik laporan Buletin TV3, pelaksanaan ini akan bermula secara berperingkat mulai 21 April 2025. Inisiatif ini melibatkan sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, Kolej Matrikulasi, dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
Tujuan utama pemakaian lencana ini adalah untuk menyemai semangat patriotisme dan meningkatkan rasa cinta terhadap negara dalam kalangan murid dan warga pendidik.
Sebagai sokongan kepada inisiatif ini, KPM akan memberi dua (2) unit lencana Jalur Gemilang secara percuma kepada setiap murid bagi sesi persekolahan 2025/2026.
KPM juga telah menyediakan Garis Panduan Pemakaian Lencana Jalur Gemilang pada Pakaian Seragam Murid di Institusi Pendidikan bawah KPM. Garis panduan ini disertakan bersama Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3/2025 sebagai rujukan mengenai cara pemakaian lencana tersebut.
KPM menyatakan bahawa inisiatif ini selaras dengan peranan institusi pendidikan untuk memupuk rasa cinta kepada negara dan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.
Selain itu, kami kongsikan pautan artikel lain yang menarik di bawah.