Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) memansuhkan pembelajaran berorientasikan peperiksaan terhadap murid sekolah adalah bertujuan untuk mengurangkan tekanan mereka.
Ketika persidangan Dewan Rakyat hari ini, Fadhlina berkata KPM mengambil pendekatan agar tumpuan pembelajaran di sekolah berasaskan inquiry (pertanyaan), eksplorasi, pengalaman, contextual (mengikut konteks) serta pentaksiran yang sepenuhnya melihat kepada pembangunan holistik murid.
Pentaksiran bilik darjah ini akan beri satu tanda aras lebih baik khususnya untuk melihat dan menilai anak-anak lebih holistik melibatkan komponen pentaksiran bilik darjah, jasmani, sukan dan kurikulum dan juga psikometrik serta kecenderungan murid.
Tambahnya, pendekatan itu adalah bagi memastikan tiada lagi tumpuan diberikan kepada orientasi peperiksaan dan mengurangkan tekanan murid.
Fadhlina turut menambah bahawa pihak kementerian sentiasa mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan murid termasuklah psikososial dan kesihatan mental.
Justeru, KPM melaksanakan inisiatif seperti Saringan Minda Sihat sebagai mekanisme pengesanan awal untuk mengenal pasti murid berhadapan gangguan emosi.
Katanya, saringan itu dilaksanakan sebanyak sekali dalam setahun terhadap semua murid tahun lima hingga tingkatan enam.
Manakala mereka yang dikenal pasti mempunyai masalah gangguan emosi teruk dan sangat teruk, Saringan Minda Sihat dilaksanakan sebanyak dua kali setahun.
Murid yang menunjukkan tanda-tanda awal kemurungan diberikan bantuan segera melalui intervensi berfokus menggunakan Modul Minda Sihat, Modul Program Intervensi Minda Sihat dan Modul Kesihatan Mental Remaja yang menerapkan kemahiran menangani stres, kemahiran menyelesaikan masalah dan menguruskan emosi dengan baik.
Sebelum ini, keputusan KPM untuk tidak mengembalikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) mendapat pelbagai respon daripada rakyat.