KPDNKK Nafi Dakwaan Wabak IB Punca Harga Ayam Naik

Trending

KPDNKK Nafi Dakwaan Wabak IB Punca Harga Ayam Naik

Wabak bronkitis berjangkit (IB) atau sakit kerongkong yang menyerang ayam dikatakan antara punca harga bahan mentah itu naik pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri kali ini.

Advertisement

Bagaimanapun, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan(KPDNKK) pula bertanggapan ia hanya spekulasi kerana belum ada sebab yang kukuh ekoran kenaikan harga ayam.

“Ia hanyalah spekulasi. Kita tidak pasti harga ayam naik sebab apa kerana pihak kita belum menerima sebarang maklum balas daripada mana-mana peruncit berkenaan kenaikan harga ayam,” kata Timbalan Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Ahmad Dahuri Mahmud lapor Bernama.

Apapun, kementerian bertegas pihaknya akan mengambil tindakan terhadap mana-mana peruncit yang cuba mengaut keuntungan secara tidak munasabah apatah lagi sempena musim perayaan.

“Kita tunggu peruncit berikan fakta dan sebab mengapa mereka naikkan harga ayam. Kalau sengaja mereka naikkan, tindakan tegas akan diambil ke atas mereka,” katanya.

Sejak beberapa hari sepanjang minggu sambutan Hari Raya, pelbagai laporan diterima berhubung kenaikan mendadak harga ayam di seluruh negara.

Ayam didapati dijual pada harga RM10 sekilogram sejak Khamis lalu berbanding harga kawalan RM7.90.

“Buat masa ini KPDNKK sedang menunggu maklumat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) untuk mengesahkan perkara sama ada berlaku serangan penyakit kerongkong terhadap ayam-ayam,” kata Ahmad Dahuri.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Kamarudin Mat Isa pula menafikan dakwaan Persatuan Penternak Ayam Selangor bahawa harga ayam naik disebabkan berlaku serangan wabak IB.

“Setakat bulan Julai ini, kami hanya mengesan enam insiden wabak IB dalam kalangan ayam komersial dan ayam kampung iaitu satu di Kedah dan lima di Perak. Jadi kematian ayam disebabkan wabak IB tidak setinggi seperti yang didakwa,” katanya.

Terdahulu, persatuan tersebut dilapor mengakui beribu-ribu ekor ayam mati akibat wabak tersebut sehingga menjejaskan 20 peratus pengeluaran ayam di seluruh negara.

IB merupakan penyakit endemik yang disebabkan jangkitan virus yang boleh dikawal melalui suntikan vaksin.

“DVS telah meluluskan 14 jenis vaksin berkaitan pencegahan wabak IB. Penternak dan kontraktor membekal ayam, atas nasihat pihak kami boleh menggunakan mana-mana vaksin yang telah didaftar dan diluluskan oleh DVS,”
katanya.

Sampel ayam yang didakwa mati akibat wabak IB akan diambil untuk dikaji dan dibuat siasatan lanjut.

Beliau juga menyatakan wabak berkenaan bukan merupakan penyakit yang baharu muncul di negara ini.

Dalam pada itu, Bernama juga memetik kenyataan Pengarah Insititut Pertanian Tropika, Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Zulkifli Idrus yang berkata kos produksi ayam sebagai sebab sebenar kenaikan harga ayam dan bukan serangan wabak IB.

“Banyak faktor kenapa harga ayam naik mendadak. Salah satu sebabnya adalah disebabkan harga makanan ayam meningkat kepada RM200 setiap tan selain suhu panas yang membantutkan prestasi pembesaran ayam,” katanya.

Tambahnya, permintaan terhadap bekalan ayam yang tinggi mengundang peruncit mengambil kesempatan atas situasi berkenaan.

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...