Air putih atau dipanggil air kosong adalah minuman yang baik untuk kesihatan di samping dapat menjadikan tubuh untuk kekal hidrat sepanjang hari.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor telah mengeluarkan 12 notis setakat Khamis lalu kepada peniaga premis makanan dan minuman di Selangor kerana menjual air kosong melebihi ketetapan harga RM1 setiap gelas.
Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhammad Zikril Azan Abdullah berkata, notis berkenaan dikeluarkan berikutan susulan Ops Catut 8.0 (air kosong) yang sedang dijalankan terhadap restoran mewah, biasa, makanan segera, francais dan kedai makan serta warung di seluruh Selangor bermula 7 April hingga 15 April.
“Peniaga-peniaga yang dikenakan notis itu diberi tempoh masa selama dua hingga lima hari bekerja untuk membekalkan maklumat diarahkan”.
Tambahnya, operasi berkenaan dijalankan kerana terdapat aduan dan rungutan daripada pengguna tentang caj air kosong yang agak mahal di premis makanan dan minuman sekitar Selangor.
Bagi pengguna yang ingin membuat aduan boleh melayari portal [email protected], e-mel [email protected], menghubungi pusat panggilan 1800 886 800 atau WhatsApp 019-279 4317.