Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd Azam Ahmad, menegaskan bahawa cadangan untuk mengembalikan semula peperiksaan awam utama di sekolah selepas ia dimansuhkan boleh mengancam usaha membentuk generasi masa depan yang seimbang dan holistik.
Menurut beliau, sistem penilaian pelajar masa kini yang bersifat menyeluruh adalah hasil daripada kajian mendalam dan sesi libat urus bersama pelbagai pihak, dan sebarang langkah untuk berpatah balik akan merosakkan kemajuan yang telah dicapai.

“Pendidikan tidak seharusnya hanya menumpukan kepada melahirkan pelajar cemerlang akademik, tetapi juga individu yang mempunyai nilai moral dan peribadi yang kukuh,” katanya seperti dilapor New Straits Times.
Dr. Azam turut memberi amaran bahawa kebergantungan melampau terhadap keputusan peperiksaan sebagai ukuran kejayaan pelajar hanya akan melahirkan “generasi burung kakak tua”, pelajar yang mampu mengulang maklumat tanpa benar-benar memahami atau mengaplikasikannya.
Pada tahun 2012, kami telah mengadakan Dialog Pendidikan Negara yang melibatkan ahli akademik, pihak berkepentingan, ibu bapa, komuniti serta pegawai kerajaan.
Dalam sesi itu, kami menegaskan bahawa kami tidak mahu melahirkan pelajar seperti burung kakak tua mampu berkata-kata dengan baik tetapi tanpa kefahaman.
Apa yang kita mahukan sekarang ialah pelajar yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran, tetapi juga memiliki nilai murni, akhlak yang baik serta keseimbangan psikologi kerana kita hidup dalam dunia yang dikelilingi oleh robot.
Dr. Azam turut menegaskan bahawa peperiksaan boleh menjadi ancaman kepada pembinaan negara sekiranya ia mendorong guru untuk menumpukan semata-mata pada pencapaian akademik demi menaikkan imej sekolah, bukan untuk melahirkan insan seimbang.
Beliau menutup kenyataan dengan menegaskan bahawa pendidikan masa depan harus kekal berteraskan nilai, kefahaman, dan keseimbangan, bukan sekadar angka di atas kertas.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
