Sebagai penaja utama GV5, Datuk Aliff Syukri baru-baru ini ada meluahkan hasratnya untuk menemukan penyanyi Aishah dan juga Datuk Seri Vida bagi menjernikan kembali hubungan mereka selain menyelesaikan segala kemelut berkaitan isu hadiah rantai berlian palsu.
Mengakui niat Aliff itu sangat baik, DSV bagaimanapun memberitahu perkara itu bukan mudah untuk dilakukan memandangkan beliau cukup terkesan dengan kontroversi itu. Bukan sahaja masih menerima kecaman daripada netizen tetapi perniagaannya juga turut terjejas sehingga menyebabkan kerugian besar.
Datuk Aliff ada berhubung dengan saya. Saya amat berbesar hati dan berterima kasih atas ingatan beliau. Saya puji niat ikhlas beliau. Walaupun bagi dia minta maaf tak bererti kalah, ia tidak dapat melenyapkan kecaman netizen terhadap saya.
Kalau saya minta maaf sekali pun dua bulan punya sales dekat sejuta dah hilang, siapa yang nak bertanggungjawab?
DSV juga akui insiden tersebut benar-benar memalukannya sehingga beliau sukar untuk meminta maaf.
Terdahulu, Aishah menerusi akaun Instagramnya meluahkan rasa kecewa apabila rantai berlian yang dikatakan bernilai RM 80,000 yang dihadiahkan oleh DSV adalah palsu dan tidak mempunyai sebarang nilai. Namun, jutawan kosmetik itu menafikan dakwaan itu. Kemudian, Aishah pada Ogos lalu memberitahu beliau ingin mengambil tindakan undang-undang sekiranya DSV tidak mahu menyelesaikan isu ini dan memberikan sesuatu yang lebih setimpal untuk ditukar ganti dengan berlian tersebut.