Selama 6 bulan menjadi pengacara Melodi, akhirnya kelibat Sherry Alhadad dan Zulin Aziz di dalam program ini tidak akan lagi kelihatan bermula Januari 2015. Kontrak mereka telah pun tamat bulan ini dan tidak akan disambung. Walaupun keputusan ini diambil bukan kerana rating atau masalah displin, pastinya sedikit sebanyak kritikan yang diterima terutamanya di laman sosial daripada penonton Melodi turut sama mempengaruhi pihak pengurusan program ini.
Untuk tahun 2015, hanya Awal Ashaari sahaja yang dikekalkan sebagai pengacara Melodi. Namun masih tiada sebarang keputusan mengenai pengacara baru yang akan digandingkan dengannya. Kata Michelle Wee, penerbit Melodi:-
Pihak pengurusan hanya mengekalkan Awal Ashaari sebagai pengacara utama dalam rancangan tersebut, ini kerana kami masih peringkat perbincangan untuk memberi pengisian baru buat Melodi tahun 2015.
Kedua-dua mereka sudah tamat kontrak pada Disember 2014 iaitu selama enam bulan sahaja dan ia tiada kena mengena dengan rating atau masalah disiplin sepanjang mereka bersama Melodi.
Sepanjang mereka mengendalikan Melodi rating sama seperti sebelum ini iaitu ada naik dan turun. Tentang penonton suka dan tidak itu adalah perkara biasa bagi semua pengacara Melodi, ada yang suka ada yang tidak.
Sekarang masih diperingkat perbincangan lagi dan yang pasti kita akan buat banyak perubahan dalam Melodi. Ia termasuk mengenai pengacara.
Namun, buat masa ini Awal akan bergandingan dengan tetamu jemputan daripada kalangan artis yang dipilih sebelum sebarang keputusan dibuat
Agak-agaknya siapakah yang sesuai untuk digandingkan dengan Awal Ashaari? Pada pandangan Abang Nara, mungkin kena ambil pengacara yang gila-gila sikit. Awal jenis yang serius jadi kalau ambil yang kelakar macam Zizan dulu pun okay jugak. Atau kalau nak kelainan, boleh cuba pengacara perempuan. Nabila Huda pun nampak okay juga ketika mengacara Anugerah Skrin 2014. Apa pendapat anda? Ada cadangan yang menarik? Sila kongsikan di ruangan komen.