Pelakon dan personaliti TV, Adibah Noor tampil menempelak kedai perkakasan terkenal di Malaysia kerana masih menggunakan wajahnya sebagai duta meskipun sudah tamat kontrak dengan syarikat itu sejak Ogos tahun lalu.
Adibah menerusi ruangan Twitter miliknya meminta orang ramai supaya menangkap gambar mana-mana cawangan kedai berkenaan yang masih menggunakan wajahnya sebagai papan tanda beserta lokasi dan tarikh.
“Gais..gais.. nak minta tolong boleh? Kalau ada lagi poster, standee I kat kedai barangan buat sendiri tu, boleh tak tangkapkan gambar dan lokasi dan tarikh? Mereka tak sepatutnya letak gambar i lagi, kontrak dah tamat August 2019. Kalau ada, bagi tau ya. Thanks semua,”
Menurut Adibah Noor, kedai barangan ‘buat sendiri’ itu masih lagi menggunakan nama dan poster memaparkan dirinya di sesetengah premis mereka meskipun kontrak sudah lama tamat.
Tambahnya lagi, dia hanya mempertahankan haknya sebagai bekas duta kerana penggunaan gambar dan poster itu tidak seharusnya berlaku memandangkan dia sudah tidak mendapat apa-apa lagi bayaran selepas Ogos 2019 lalu.
Ketika meninjau ruangan komen, ramai peminat yang tampil memberikan maklumat mengenai keberadaan poster dan ‘standee’ yang masih memaparkan wajah pelakon drama Kampung People 2 itu.
Sekadar info, Adiba Noor telah mengikat kontrak bersama syarikat berkenaan sebagai duta selama dua tahun sejak tahun 2017.