Sebagai rakyat biasa sudah tentu kita berharap pada pihak berkuasa seperti polis untuk melindungi dan membuatkan kita rasa selamat tak kira di mana.
Tapi, ada juga segelintir daripada mereka ini yang membuatkan rakyat apatah lagi wanita berasa tidak selesa dan tidak selamat di tempat awam.
Seorang konstabel polis ditangkap dan direman selepas dipercayai cuba untuk merogol seorang gadis di dalam tandas.
Kejadian itu berlaku di sebuah stesen minyak di Jalan Tun Abdul Razak, Ipoh pada 17 Jun baru-baru ini dan mangsa merupakan seorang gadis berusia 19 tahun.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata suspek berusia 23 tahun itu berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah dan telah ditahan selepas laporan polis dibuat oleh mangsa.
Kes cubaan rogol itu berlaku kira-kira 2.30 pagi di dalam tandas stesen minyak.”
Suspek direman sehingga 22 Jun ini untuk siasatan lanjut yang dijalankan mengikut Seksyen 376/511 Kanun Keseksaan.
Tambah Mohd Yusri, polis sangat memandang serius terhadap integriti dan tingkah laku warganya. Tiada tolak ansur dan kompromi terhadap sebarang tingkah laku yang dilakukan mana-mana warga polis.
Ini bukan kali pertama kita baca tentang berita sebegini membabitkan penguat kuasa dan mereka ini merosakkan nama baik polis Malaysia serta patut dikenakan tindakan sewajarnya.