Bermacam-macam gelaran diberi kepada wanita yang sudah berusia 30-an dan ke atas tetapi masih belum berkahwin. Anak dara tua atau andartu, anak dara lanjut usia atau ‘andalusia’ dan terbaru, ‘anak dara emas’, mungkin digelar begitu dari frasa ‘warga emas’. Apa saja pun istilah atau gelaran, menjadi wanita bujang berusia 30-an boleh dikatakan satu stigma dalam masyarakat kita.
Justeru, ada yang menganggap golongan ini perlu ‘diselamatkan’ dan ‘ditolong’ supaya tidak terusan hidup sendiri kerana hidup sendiri itu satu stigma (dalam masyarakat kita). Kenyataan ini dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama Kedah, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid.
Seorang pengguna Facebook, Dr Ramzah Dambul, seorang pensyarah universiti telah menulis satu kenyataan balas terhadap kenyataan Mohd Rawi. Beliau ialah penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012 untuk kategori kumpulan buku puisi. Ikuti ulasan Dr. Ramzah terhadap kenyataan bahawa ‘anak dara emas’ perlu ‘diselamatkan.
1. Huh, geram pun ada bila nampak kenyataan ini pada muka depan sebuah akhbar arus perdana.
Persoalan saya: kenapa anak dara emas saja yang perlu diselamatkan? Adakah golongan teruna emas tidak cukup bermasalah untuk diberi perhatian serupa?2. Tapi begini. Bagi saya, sebenarnya isu yang lebih panas dalam kes ini adalah soal prejudis jantina.
Cara kenyataan itu diayatkan seolah-olah memberi bayangan bahawa kategori wanita yang dirujuk itu mendatangkan satu masalah untuk diri mereka sendiri, juga kepada negara. Sehingga mereka perlu “diselamatkan”!
Secara peribadi bagi saya, ini satu bentuk ketidakhormatan terhadap wanita kita. Ini yang dipanggil: mentaliti bawang merah-bawang putih. Satu gaya pemikiran cauvinisme lelaki dari tradisi purba, yang gemar memandang rendah dan meremeh-remehkan wanita.
3. Dalam kisah klasik Bawang Merah, Bawang Putih – semua watak wanita dilonggok sebagai ‘masalah’. Yang ditindas wanita, yang menindas pun wanita. Pendek kata, wanita dipotret sebagai mangsa serta pemangsa yang menjadi punca Keluarga Bawang ini kucar-kacir.
Siapa protagonis unggul dalam kisah ini, yang akhirnya berjaya merungkai segala kemelut? Dia seorang putera raja, yang datang memikat si Bawang Putih. Maka sejak itu, kehidupan yang asalnya porak peranda telah bertukar serba bahagia untuk semua wanita (termasuk si Bawang Merah dan ibunya Mak Kundur yang jahat itu).
Apa mesej tersirat yang sedang ditancap utuh ke dalam minda menerusi cerita ini? Bahawa lelaki adalah hero yang sentiasa menyelamat kaum wanita yang (kononnya) selalu bermasalah. Ini yang saya kata satu warisan kuno: mentaliti tipikal bawangmerah-bawangputih.
4. Saya kenal ramai wanita dari kategori anak dara emas ini. Mereka semua tidak perlu diselamatkan pun. Mereka lebih dari mampu untuk menjaga diri mereka sendiri. Wanita-wanita profesional ini sebenarnya mempunyai pilihan dalam kehidupan, dan ‘mampu’ untuk jadi memilih.
Majoriti wanita emas ini, merupakan pekerja yang produktif. Pembayar cukai negara yang tegar. Mereka juga lebih prihatin menjaga keluarga (ibu bapa yang sudah uzur, dan anak-anak saudara misalnya). Tidak ada bukti empirikal mereka ini menggalas isu-isu emosi dan moral yang melebihi atau kurang dari kelompok lain dalam komuniti kolektif.Ya, mereka juga normal sama seperti orang lain. Bahkan mereka barangkali menyumbang indeks positif yang lebih tinggi kepada negara. Jadi konotasi ‘perlu diselamatkan’ itu – seperti satu penghinaan secara halus.
5. Masalah apa yang mahu ditangani dengan cara beriya-iya membantu mereka cari pasangan? Adakah perkahwinan itu satu-satunya penyelesaian universal kepada semua masalah? Bagaimana kalau dapat laki muka gaung yang perangai macam gampang?
Bila saya cakap begini, mesti ada yang akan keluarkan nas-nas hadis dan Quran untuk tunjukkan tuntutan agama pada perkahwinan. Wah, kalau bab-bab nikah-kahwin serta senggama, bukan main rajin kau menggali sabda Nabi dan firman Tuhan.
Hei, tahukah kau: ada banyak lagi isu manusiawi lain di dunia ini yang lebih kritikal – kenapa tidak kau beriya-iya mau selamatkan mereka itu dengan seruan agamawan yang sama?
6. Misalnya.
Lelaki-lelaki penoda kanak-kanak yang berkeliar di insitusi pendidikan dan maahad kerohanian: itu kau tak hirau? Perokok-perokok tegar (95% lelaki) yang mengikis sumber kewangan negara menerusi beban belanja mengurus fasiliti kesihatan: ini tak perlu diselamatkan?
Suami-suami yang asyik main kayu tiga (Nota: Kecurangan ialah 50% lebih cenderung dilakukan lelaki yang sudah berkahwin) atau miang mau tambah isteri; tapi anak-beranak yang sedia ada di rumah pun tak cukup kasih sayang: ini kau tak peduli?
Pemuda-pemuda terlebih hormon jantan yang kerja asasinya asyik mencabul perempuan (Nota: wanita 9 kali ganda lebih berkemungkinan hilang kerja kerana gangguan seksual): ini kau tak endah?
7. Saya fikir begini. Lelaki perlu berhenti dari terlalu taksub mau jadi juara masalah-masalah kaum wanita. Kemudian berlagak hero ingin jadi penyelamat tersohor. Barangkali memang betul, ada yang perlu dan mahu bantuan. Tapi tidak boleh main lambak secara terbuka, dan buat generalisasi simplistik begitu.
Berdasarkan kemelut sosial kontemporari – lebih afdal kalau lelaki mula tumpukan lebih banyak inisiatif untuk selesaikan masalah mereka sendiri yang kian menimbun. Dan lebih kronik!
Hanya dengan pendekatan ini, dunia serta negara kita boleh menjadi lebih aman dan harmoni. Serius.
Tulisan Dr. Ramzah itu dikongsikan di laman Facebook peribadi beliau, Rem Dambul, dan menjadi viral serta mendapat lebih dari empat ribu perkongsian.
Mungkin masayarakat kita perlu menerima bahawa berdua tidak semestinya lebih baik, setidaknya bukan untuk semua orang? Bahagia itu satu pilihan dan satu keadaan minda. Jika memilih untuk bahagia maka seorang diri pun akan tetap bahagia. Jadi biarkan ‘anak dara emas’ itu meniti bahagia mereka sendiri.
Bukan semua orang perlukan hero.-amazingnara.com
Sumber: Rem Dambul