Peguam syarie yang mewakili isteri pemain bola Faisal Halim iaitu Nur Syazwani Mizuana Shahri mengesahkan bahawa pasangan itu bersepakat untuk kembali menjalani kehidupan berumah tangga.
Roshdan Sujak Rafie berkata, Faisal dan Syazwani mengambil keputusan itu selepas mereka berdua berbincang dan mahu kembali memperbaiki hubungan yang dibina.
Setelah perbincangan kedua-dua pihak dan atas nasihat serta pandangan daripada peguam syarie kedua-dua pihak, mereka memutuskan untuk kembali semula hidup sebagai suami isteri.
Keputusan itu sekaligus membawa kepada penarikan semula kes perceraian yang difailkan sebelum ini oleh pihak Nur Syazwani di Mahkamah Rendah Syariah Klang.
Bagaimanapun, katanya prosiding berhubung pengesahan cerai dan rujuk yang berlaku pada 15 serta 16 Jun lalu tetap akan diteruskan mengikut tarikh yang ditetapkan mahkamah.
Langkah ini penting kerana setiap lafaz cerai dan tindakan rujuk wajib mendapat pengesahan rasmi bagi memastikan status perkahwinan pasangan itu jelas dan sah di sisi undang-undang.
Terdahulu, perkongsian pasangan itu menerusi Instagram telah mencuri perhatian selepas Faisal dan Syazwani dilihat memuat naik foto bahagia bersama anak mereka.
Alhamdulillah. Maaf dan lupakan. Semoga Allah lindungi perkahwinan kami hingga ke syurga. Sayang awak Faisal Halim. Rasa macam baru kahwin semula.