Walaupun konflik di Asia Selatan mungkin kelihatan jauh dari radar rakyat Malaysia, hakikatnya ketegangan antara India dan Pakistan yang sedang berlaku ketika ini boleh membawa kesan langsung kepada kehidupan harian kita terutama sekali bila melibatkan isu makanan ruji seperti nasi.
Seperti yang dilaporkan oleh MalaysiaKini, Menteri Pertanian, Mohamad Sabu baru-baru ini memberi amaran bahawa sekiranya konflik antara dua negara berkuasa nuklear ini terus memuncak, Malaysia mungkin akan berdepan dengan gangguan bekalan beras.
Ini bukan sekadar spekulasi kerana hampir 40 peratus daripada jumlah beras yang diimport oleh negara datang dari India dan Pakistan.
Sebagai info, India merupakan pembekal utama bagi beras putih ke Malaysia, manakala Pakistan pula membekalkan beras basmati, sejenis beras yang sering digunakan untuk hidangan istimewa seperti nasi briyani, nasi minyak, dan sajian kenduri.
Kedua-dua jenis beras ini telah lama menjadi sebahagian daripada budaya makanan di Malaysia maka apabila sumber bekalannya tergugat, rakyat juga turut merasai impaknya.
Terdahulu, ketegangan tercetus semula selepas serangan terhadap pelancong di Kashmir, mengorbankan lebih 30 nyawa dan mencederakan ramai. Konflik ini turut menjejaskan hubungan diplomatik serta operasi pelabuhan dan logistik kargo, termasuk penghantaran beras ke negara pengeksport.
Walaupun bekalan beras di Malaysia masih terkawal buat masa ini, kerajaan telah mengambil langkah awal dengan memulakan rundingan bersama beberapa negara jiran Asia Tenggara seperti Thailand, Vietnam, dan Kemboja.
Langkah ini amat penting bagi memastikan kelangsungan bekalan beras dan kestabilan harga sekiranya konflik terus berpanjangan.
Kebergantungan Malaysia pada import untuk tampung keperluan lebih 34 juta rakyat dilihat meruncing dan kerajaan kini sedang berusaha meningkatkan pengeluaran. Ia sekaligus mengambil masa, teknologi dan dasar kukuh. Pada ketika ini, kita masih perlukan bekalan dari negara rakan dagang untuk elak krisis makanan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.