Konflik antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pemain badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia akhirnya bertemu jalan penyelesaian apabila Presiden BAM (Norza Zakaria) dilaporkan telah ‘merestui’ keputusan pemain itu yang ingin bergerak secara profesional.
Berita gembira tersebut turut dikongsikan Lee Zii Jia menerusi sebuah hantaran di Instagram miliknya yang ternyata telah memberikan sinar baru buat pemain yang baru berusia 23 tahun itu.
Dalam hantaran tersebut, Lee Zii Jia memaklumkan bahawa dia dan kedua ibu-bapanya telah bertemu empat mata bersama Norza bagi membincangkan isu tersebut.
Namun begitu, ketika artikel ini ditulis, masih belum pasti sama ada BAM telah secara rasmi membatalkan keputusan mereka untuk tidak mendaftarkan Lee Zii Jia dalam sebarang kejohanan antarabangsa selama dua tahun, seperti yang diputuskan sebelum ini.
Lee juga memaklumkan bahawa dia akan terus meneruskan perjuangannya dalam Kejohanan Berpasukan Asia dan turut meminta peminat sukan Badminton tempatan agar terus menyokong BAM dan pemain-pemain yang lain.
Terdahulu, Lee Zii Jia telah mengemukakan surat untuk keluar daripada skuad kebangsaan kepada BAM dengan alasan tidak dapat menanggung tekanan serta gaya hidup yang ditetapkan selain menuntut pemilihan jurulatih dan merancang jadual kejohanannya sendiri.
BAM kemudian membuat keputusan drastik dengan melarang pemain muda itu daripada bertanding dalam mana-mana kejohanan antarabangsa untuk tempoh 24 bulan sehingga mencetuskan perdebatan netizen di media sosial.